Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 iktibar utama Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memilih untuk menumpukan perhatian kepada tiga isu jangka panjang yang beliau sifatkan sebagai penting kepada kemajuan dan kesejahteraan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
6 iktibar utama Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017

PM Lee di Rapat Hari Kebangsaan. (Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 21 Aug 2017 01:00AM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 01:02AM

SINGAPURA: Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memilih untuk menumpukan perhatian kepada tiga isu jangka panjang yang beliau sifatkan sebagai penting kepada kemajuan dan kesejahteraan Singapura.

Isu-isunya: mempertingkat pendidikan prasekolah, memerangi kencing manis dan menjadikan Singapura sebuah Negara Bijak.

"Ini adalah perkara-perkara yang mesti kita usahakan sekarang demi membangunkan masa depan kita," tegas PM Lee hari ini (20 Ogos).

"Supaya rakyat Singapura boleh memulakannya segera, kekal sihat dan hidup bijak sepanjang hayat."

Berikut enam iktibar utama daripada ucapan PM Lee.

1. LEBIH BANYAK TEMPAT DI PRASEKOLAH

Pemerintah akan menyediakan tambahan 30 peratus atau 40,000 tempat di prasekolah dalam tempoh lima tahun mendatang. Ini membawa jumlah keseluruhan bagi tempat di prasekolah kepada sekitar 200,000.

Bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun hingga empat tahun, mereka boleh mengikuti Pusat Tahun-Tahun Awal yang akan dibangunkan oleh pengendali utama (anchor operators).

Pusat-pusat tersebut, yang sebagai permulaan akan ditempatkan di kawasan perumahan baru HDB, akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan kanak-kanak akan mendapat tempat di tadika apabila mereka mencecah usia lima tahun.

2. PENDIDIKAN PRASEKOLAH LEBIH BERMUTU

Bagi kanak-kanak berusia lima dan enam tahun - di peringkat K1 dan K2 - MOE akan menerajui proses mempertingkat standard pendidikan. Terdapat 50 tadika yang dikendalikan MOE dalam tempoh lima tahun mendatang, dari 15 tadika yang ada sekarang.

"Para ibu bapa tahu mereka boleh meyakini jenama MOE," kata PM Lee.

Untuk meningkatkan mutu para guru prasekolah, sebuah institut latihan pusat yang baru seperti Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIE) akan dibangunkan. Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIEC) itu, akan menyepadukan program-program latihan sedia ada yang dikendalikan oleh dua politeknik, ITE dan Institut SEED.

3. PEMERIKSAAN KESIHATAN $5 SAJA

Mulai bulan September, Kementerian Kesihatan (MOH) akan menawarkan pemeriksaan kesihatan pada harga $5 bagi rakyat Singapura yang berusia 40 tahun ke atas. Ini adalah potongan harga yang besar daripada kos biasa iaitu $100, kata PM Lee.

Langkah itu adalah sebahagian daripada gesaan Perdana Menteri supaya rakyat kerap menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menangani risiko kencing manis.

Ia mungkin isu aneh untuk disampaikan di rapat umum tahunan PM Lee, namun PM Lee menegaskan: "Ini kerana masih ramai yang belum bimbang, sedangkan saya amat bimbang mengenainya. Ia sudah menjadi masalah serius".

Memetik perangkaan yang "membimbangkan", PM Lee berkata satu daripada sembilan rakyat Singapura menghidap penyakit kencing manis. Dalam kalangan mereka yang berusia lebih 60 tahun, tiga daripada 10 orang menghidap penyakit kencing manis.

Secara purata, sekitar 1,200 pesakit kencing manis perlu menjalani amputasi anggota badan setiap tahun - antara yang tertinggi di dunia.

4. KURANGKAN GULA

Semua pengilang minuman bergas di Singapura bersetuju untuk mengurangkan kadar gula dalam semua minuman yang dijual di sini, dedah PM Lee. Ini adalah satu cara bagi membantu para pengguna mengurangkan kadar gula dan Pemerintah sedang "mencari cara-cara untuk melawan kencing manis".

Namun akhirnya, pemakanan sihat adalah pilihan peribadi dan ia berbalik kepada usaha membuat keputusan yang disiplin, kata PM Lee, sambil merujuk kepada contoh ayahnya, mendiang Perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.

PM Lee mengimbas bagaimana jamuan stik yang dihidangkan dalam satu jamuan tengah hari yang dihoskan ayahnya untuk AP Charles Chong.

Encik Chong kemudian mengambil separuh stik sebagai tanda hormat kepada mendiang Encik Lee tetapi mendiang berkata: "Itu bahagian saya. Anda ambil yang lagi satu (yang lebih besar)!"

5. APP LETAK KERETA BARU BAKAL GANTIKAN KUPON

Satu app mudah alih diberi nama parking.sg akan disediakan untuk dimuat turun pada Oktober ini. Ini membolehkan para pemandu untuk tidak lagi perlu menggunakan kupon meletak kereta.

Para pengguna hanya perlu membuat bayaran bagi tempoh meletak kereta. App itu akan memaklumkan para pengguna apabila tempoh meletak kereta berkenaan hampir tamat dan para pemandu boleh melanjutkannya melalui app tersebut.

"Tidak perlu bergegas ke kereta anda untuk menambah kupon sebelum anda disaman," kata PM Lee, sambil menambah ini adalah satu contoh bagaimana projek Negara Bijak boleh menghuraikan masalah harian.

Begitu juga, pampasan akan diberikan jika para pemandu memilih untuk menamatkan tempoh meletak kereta lebih awal daripada masa yang ditetapkan.

6. TERLAMBAT UNTUK BELAJAR GUNAKAN TEKNOLOGI? TIDAK SAMA SEKALI

Dalam usaha menggalak warga tua mendakapi teknologi, PM Lee memberi contoh mereka yang menggunakan IT bagi memperbaiki kehidupan mereka.

Salah seorang daripadanya ialah Teo Yoke Lan, 70 tahun, wanita tua yang menggunakan skuter elektronik di Kawasan Pusat Bandar bagi menghantar pesanan UberEATS kepada para pekerja pejabat.

"Saya juga belajar bagaimana untuk menggunakan emel. Saya tahu kesemuanya," kata beliau dalam video yang dimainkan di Rapat Umum Hari Kebangsaan. "Saya peran contoh mereka (golongan muda). Mereka memberitahu ibu mereka bahawa mereka harus mempelajari daripada saya."

Encik Tariam Singh, 70 tahun juga membantu warga tua lain menimba kemahiran IT, menjadi sukarelawan seperti Duta Kesejahteraan Warga Tua Infokom. Beliau juga dapat mendampingi lebih ramai warga tua kerana beliau boleh bertutur dalam bahasa Hokkien, Mandarin, Melayu, Tamil dan Punjabi.

"Negara Bijak adalah kita semua, muda dan tua," kata PM Lee. "Dunia kian berubah-ubah. Selagi kita juga tidak berubah, kita akan ketinggalan." 

Sumber : CNA/NK/RU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan