Images
  • mice
    54 ekor tikus ditemui di Pasir Ris Drive 4. (Gambar: Karen Teng)

54 tikus terbiar di Pasir Ris Drive 4; AVA sedang siasat

SINGAPURA: Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) sedang menyiasat insiden di mana 54 ekor tikus yang didapati terbiar di Pasir Ris Drive 4, menurut AVA pada Rabu (13 Sep).

Tikus-tikus itu dijumpai di jalan raya pada malam kelmarin oleh seorang penduduk Pasir Ris, Karen Teng, yang sedang bersiar-siar bersama suami beliau apabila beliau ternampak tikus-tikus itu.

Cik Teng kemudian bergegas ke rumah untuk mengambil sebuah kotak bagi mengumpulkan tikus-tikus itu.

"Saya rasa ia sangat kejam untuk membiarkan ia di tepi jalan," tambah Cik Teng.

Beberapa orang yang berada berdekatan juga menolong dan mengambil hampir dua jam untuk mereka mengumpulkan tikus-tikus berkenaan.

Mereka menyerahkan tikus-tikus itu kepada Persatuan bagi Mencegah Penganiayaan Haiwan (SPCA).

Apabila Mediacorp mengunjungi kawasan itu dengan Cik Teng semalam, terdapat beberapa ekor tikus yang sudah mati.

Ada juga beberapa keping roti yang diletakkan di semak. Tempat tidur untuk haiwan peliharaan itu juga ditemui.

Seorang individu yang sedang berlari-lari anak, turut berhenti untuk membantu.

Individu itu ternampak dua orang yang mencurigakan di kawasan itu sekitar 9.15 malam kelmarin, kata Cik Teng kepada Mediacorp.

SPCA menganggap kes itu sebagai pengabaian haiwan peliharaan.

Ia menambah bahawa tikus itu bukan tikus liar tetapi tikus kecil, sejenis tikus yang digunakan untuk ujian makmal dan dijadikan makanan bagi haiwan-haiwan lain.

SPCA merayu orang ramai supaya tampil memberi lebih banyak maklumat.

Hukuman bagi pengabaian haiwan peliharaan adalah dipenjara sehingga setahun dan didenda sehingga S$10,000 bagi pesalah kali pertama. 

- CNA/RU/ru

Top