Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

50 kes tingkap jatuh pada 2017, tertinggi dalam 5 tahun

50 kes tingkap jatuh berlaku tahun ini, jumlah tertinggi sejak 2013. Demikian menurut statistik yang dikeluarkan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (12 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Dec 2017 11:56AM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 10:45PM

SINGAPURA: 50 kes tingkap jatuh berlaku tahun ini, jumlah tertinggi sejak 2013. Demikian menurut statistik yang dikeluarkan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (12 Dis).

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kes-kes sedemikian. Namun, bilangan kes lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, iaitu sebanyak empat kes tambahan. Kebanyakan kes melibatkan tingkap berbingkai dan tingkap bergelongsor.

Menurut BCA dan HDB, tingkap berbingkai jatuh akibat rivet aluminium yang berkarat sehingga menjejas keberkesanan rivet tersebut.

Sejak 2014, para pemilik rumah dikehendaki menggantikan rivet aluminium pada tingkap berbingkai dengan rivet keluli tahan karat. Pemilik rumah juga harus periksa agar rivet dan kancing tingkap tidak berkarat atau longgar serta sering membersihkan dan membubuhkan pelincir pada bahagian-bahagian tingkap.

Kes-kes yang melibatkan tingkap bergelongsor pula kebanyakannya didapati tidak mempunyai penahan keselamatan dan jalur sudut sehingga tingkap tidak dapat bergerak dengan licin dan boleh terjatuh jika pemilik rumah menutup atau membuka tingkap secara paksa.

Penahan keselamatan dan jalur sudut pada tingkap bergelongsor harus digantikan jika sudah rosak.

"Tingkap yang jatuh amat berbahaya bagi orang awam. Kita harus memainkan peranan untuk menghapuskan risiko ini. Semua pemilik rumah harus periksa tingkap mereka sekali setiap enam bulan," kata Encik Lim Beng Kwee, pengarah Kumpulan Fungsi Khas BCA.

Para pemilik rumah boleh didenda sehingga S$5,000 dan/atau dipenjara sehingga enam bulan jika gagal menggantikan rivet aluminium dengan rivet keluli tahan karat.

Selain itu, jika tingkap terjatuh akibat tidak melakukan kerja pembaikan, pemilik rumah boleh didenda sehingga S$10,000 dan dipenjara sehingga satu tahun.

Sejak 2006, 326 orang dikenakan denda dan 86 orang didakwa akibat kes tingkap jatuh.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan