Images
  • 50 salutes
    Dr Maliki Osman dan orang ramai 'tabik' sempena NS50. (Gambar: Loke Kok Fai)

50,000 'tabik' sempena 50 tahun NS

SINGAPURA: Sedang Singapura meraikan ulang tahun ke-50 Perkhidmatan Negara (NS), SAFRA berharap untuk mendapatkan 50,000 'tabik', lebih tepat lagi sanjungan, daripada masyarakat buat para anggota NS, baik yang dahulu mahupun sekarang, yang ditemui setiap hari.

Dalam kempen "We Salute our NSmen" (Kami Tabik Anggota NS Kami) yang dilancarkan hari ini (18 Jun), SAFRA menggalak orang ramai memuat naik gambar atau video sanjungan mereka ke laman Facebook dan Instagram disertakan dengan kata-kata penghargaan.

Catatan-catatan itu juga perlu diletakkan dengan 'hashtag' #NS50salute dan #safrasg.

Orang ramai juga boleh mengirimkan sanjungan mereka dari kiosk-kiosk gambar digital interaktif di merata negara yang diletakkan di pusat-pusat beli-belah dan perhentian bas terpilih di merata negara serta di semua kelab SAFRA dan acara-acara utama sempena NS50 sehingga hujung bulan Oktober.

Merasmikan pelancaran kempen itu di Kelab SAFRA Jurong ialah Menteri Negara Kanan Pertahanan yang juga Timbalan Presiden SAFRA Dr Mohamed Maliki Osman.

Beliau berkata meskipun masyarakat mengiktiraf sumbangan anggota NS, menyanjungi mereka juga merupakan cara yang baik bagi menghargai peranan mereka dalam menjaga keamanan dan melindungi kestabilan Singapura sepanjang 50 tahun lalu.

"Jika dilihat keadaan sejak beberapa hari lalu - pengumumkan tentang individu-individu radikal dan keadaan pengganasan di luar sana sekarang, kita tidak mampu untuk mengambil mudah tentang keamanan dan kestabilan," tegas Dr Maliki.

"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita menunjukkan penghormatan dan pengiktirafan kita kepada semua anggota NS menerusi cara mudah memberikan sanjungan pada bila-bila masa kita menjumpai mereka."

Lebih 300 anggota NS dan keluarga mereka serta mantan Sarjan menyertai Dr Maliki di acara tersebut serta mantan Sarjan Mejar Rejimen Institut Latihan Angkatan Bersenjata Singapura .Kapten Hong Seng Mak.

Gambar-gambar dan video sanjungan akan dipaparkan di laman NS50 SAFRA serta skrin-skrin di kelab-kelab SAFRA.

Persatuan itu juga mengalu-alukan badan-badan korporat lain yang mahu memberikan sokongan dalam insiatif tersebut dengan menyediakan lebih banyak wadah untuk memaparkan sanjungan-sanjungan di merata negara. 

- CNA/nk

Top