Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 idea diusulkan bagi suntik kesegaran, nafas baru kepada Sungai Kallang

Lima idea utama untuk memberikan nafas baru kepada Sungai Kallang diperkenalkan hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Mar 2017 01:58PM Dikemas Kini : 30 Mar 2017 02:10AM

SINGAPURA: Lima idea utama untuk memberikan nafas baru kepada Sungai Kallang diperkenalkan hari ini (29 Mac).

Kelima-lima idea itu ditampilkan dalam pameran 'A River Runs Through It' yang dilancarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Pameran itu mempelawa orang ramai memberikan maklum balas dan idea-idea bagi satu pelan konsep awal untuk memberikan nafas baru kepada Sungai Kallang, serta mencergaskan semula kawasan-kawasan di sekitar sungai itu. Ia dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, menurut kenyataan media URA.

Menurut agensi itu, Sungai Kallang merupakan sungai semula jadi yang terpanjang di Singapura. Kini sekitar 800,000 orang tinggal dalam jarak 2 kilometer dari sungai itu, dan dalam 20 tahun akan datang, terdapat potensi untuk menambah lagi 100,000 unit perumahan di kawasan tersebut, tambahnya.

Oleh itu, Pemerintah mengusulkan idea-idea berikut ini:

1. Menghidupkan kawasan dermaga, dan mempertingkatkan Lembangan Kallang sebagai tempat untuk sukan dan kegiatan riadah

Satu idea yang sedang dibangunkan ialah membentuk anak sungai, air yang melata dan taman-taman hujan antara Bishan Road dan Braddell Road. Kajian sedang dijalankan untuk meninjau sama ada lebih banyak kemudahan diperlukan di kawasan sekitar Hab Sukan untuk memperkukuhkannya sebagai kawasan sukan dan riadah yang inklusif.

2. Suntik pembangunan perumahan baru di kawasan dermaga dalam sekitaran seperti taman, dan memperbaharui estet-estet industri yang lama

Kampong Bugis dan Kallang Distripark dipilih bagi pembangunan kejiranan-kejiranan menghijau yang bermutu, dan Estet Industri Kallang pula berpotensi diperbaharui menjadi kawasan serba guna dengan pelbagai pembangunan industri yang baru.

3. Tingkatkan keterhubungan dengan menyediakan laluan mobiliti yang mudah digunakan sepanjang Sungai Kallang, antara Bishan dan kawasan pusat bandar

Pameran tersebut menampilkan beberapa idea sebagai huraian kepada beberapa hambatan di tebing sungai, seperti jalan-jalan bawah tanah yang baru dan jambatan berbasikal di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).

4. Memperkayakan biodiversiti Sungai Kallang

URA mengusulkan agar habitat-habitat sepanjang sungai itu sekarang ini dapat dilengkapi dengan naturalisasi pada kawasan-kawasan lebih besar pada laluan air, serta kawasan menghijau lebih luas untuk membolehkan biodiversiti tumbuh lebih rancak.

5. Meraikan dan menyuntik warisan kaya sungai itu

Orang ramai akan dipelawa membantu untuk mengabadikan memori-memori dan warisan yang ada kaitan dengan sungai tersebut untuk memperkayakan pelan-pelan pembangunan pada masa depan, menurut URA.

Agensi itu menyeru orang ramai supaya mengongsi maklum balas tentang idea-idea untuk memberi nafas baru kepada sungai itu, dan juga akan menjemput akar umbi dan penduduk yang tinggal sepanjang sungai tersebut serta pihak berkepentingan yang lain ke pameran berkenaan untuk mengongsi pandangan mereka.

Idea-idea dan usulan tersebut akan dipamerkan di The URA Centre Atrium mulai 29 Mac hingga 2 Mei, 9.00 pagi hingga 6.00 petang, Isnin hingga Jumaat.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan