Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 cara untuk luangkan masa bersama ayah sempena Hari Bapa

Meskipun kasih sayang dapat ditunjukkan dan ucapan terima kasih dapat diungkapkan tanpa mengira hari, Hari Bapa memberi kita peluang tambahan untuk meraikan pengorbanan ayah kita.

Anggaran Waktu Membaca:
5 cara untuk luangkan masa bersama ayah sempena Hari Bapa

Gambar fail seorang ayah dan anak berbasikal di sebuah taman. (Gambar: Ngau Kai Yan)

BERITAMediacorp: Singapura menyambut Hari Bapa pada Ahad (18 Jun). Meskipun kasih sayang dapat ditunjukkan dan ucapan terima kasih dapat diungkapkan tanpa mengira hari, Hari Bapa memberi kita peluang tambahan untuk meraikan pengorbanan ayah kita.

Bahkan, jika anda belum membuat sebarang rancangan, terdapat pelbagai kegiatan yang dapat anda lakukan untuk meluangkan masa berharga bersama ayah anda pada hujung minggu ini. Bukan sekadar sebagai tanda terima kasih, anda juga dapat mengeratkan lagi hubungan keluarga.

BERITAMediacorp menyenarai pendek 5 kegiatan dan acara yang dapat anda sertai sempena Hari Bapa ini.

PECAHKAN REKOD BARU DI S’PURA

(Gambar: Dadsforlife.sg)

(Gambar: Dadsforlife.sg)

Ajak ayah anda untuk sama-sama memecahkan rekod baru bagi Tembok Cap Tangan Yang Terbesar di Singapura! Tidak terhad pada itu, buat pendaftaran awal dan sertai Cabaran Bapa. Cabaran khas itu juga merangkumi permainan Frisbee, boling taman dan aktiviti membaling belon air!

‘Dad’s Day Out’ yang dianjurkan Dads for Life dengan kerjasama Mediacorp, berlangsung di 1 Stars Avenue, Town Square Kampus Mediacorp pada Ahad, dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam. Anda juga berpeluang untuk membawa pulang cawan rekaan sendiri dan ‘goodie bag’ selagi stok masih ada.

Rakamkan video keluarga we-fie dengan latar rancangan televisyen kegemaran anda dan ambil gambar di dinding gambar 3D yang menarik. Selain itu, sertai permainan pentas bersama hos selebriti, DJ dan artis Mediacorp. Bagi ayah-ayah yang berminat, sesi bengkel ‘Fathering 101’ juga disediakan.

BAGI BAPA YANG MINAT SELEBRITI

(Gambar: Celebfest/Instagram)

(Gambar: Celebfest/Instagram)

Jika ayah anda gemar pada para penggiat seni dunia hiburan, apa kata anda membawanya ke Celebfest 2017! Bagi edisi Ramadan kali ini yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Celebfest 2017 menampilkan lebih 250 gerai, dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam pada Ahad (18 Jun). Yang menariknya, anda bukan sahaja dapat menyapa dan beramah mesra dengan para selebriti, malah anda juga boleh membeli keperluan selain membuat persiapan Hari Raya pada saat-saat akhir.

Lebih 50 personaliti juga akan berada di acara tersebut, dengan persembahan penutup oleh band dari Malaysia, Akim & the Magistrate, pada 9.00 malam pada Ahad. Dengan kawasan sebesar tiga dewan konvensyen di Dewan 401 hingga 403, anda pasti berpuas hati kerana mendapat membuat pelbagai pilihan ketika membeli-belah dan sewaktu membeli hidangan berbuka.

Usah risau juga jika anda tidak membawa wang tunai yang lebih, semua gerai juga dilengkapi dengan kemudahan bayaran melalui kaedah NETS. Jadi, berbelanja dan bertegur sapa dengan artis-artis pujaan bersama ayah anda!

SERTAI ACARA KARNIVAL SAMBIL IMBAU ZAMAN KANAK-KANAK

(Gambar: Sports Hub/Facebook)

Acara ‘Community Play Day’ di Hab Sukan menyediakan pelbagai kegiatan dan permainan yang dapat mengajak ayah anda mengimbau kembali zaman kanak-kanak! Bertemakan ‘Good Ol’ Wonderland’, acara yang diadakan sehingga Ahad (18 Jun) mempunyai gerai permainan carnival, ‘merry-go-round’ dan permainan cawan berputar klasik!

Turut diadakan berhampiran stesen MRT Stadium, di Taman Arena dan OCBC Arena, acara ini pasti akan membuat anda dan ayah anda menikmati pelbagai kegiatan yang menyeronokkan. Ada juga kawasan untuk bermain dengan buih-buih sabun!

Luangkan masa untuk menyelesaikan 10 kegiatan dan anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah 'pasti menang'. Bagi yang berminat untuk menyertai acara Zumba atau kardio, jangan lupa bawa kasut sukan sekali!

MASAK DAN BAKAR KUIH KHAS BUAT AYAH

(Gambar: Tefal/ Facebook)

(Gambar: Tefal/ Facebook)

Jika anda ingin mengambil peluang pada hujung minggu ini untuk duduk di rumah, apa kata anda masakkan hidangan istimewa buat ayah anda? Bagi yang lebih minat membakar, anda juga boleh membakar kuih khas Hari Bapa!

Teknologi kini memudahkan sesiapa sahaja berbuat demikian. Sama ada anda remaja ataupun jenis teruna yang tak pandai sangat masak. Misalnya, periuk nasi khas dari Tefal (Induction Spherical Pot Rice Cooker) bukan sahaja memudahkan anda untuk memasak, tetapi juga untuk membakar kuih sempena hari istimewa ini. Anda hanya perlu menekan butang ‘Stew’, ‘Slow cook’, ‘Bake’ untuk menjimat masa dan mendapatkan hasil yang memuaskan. Gabungan teknologi ‘induction’ eksklusif dan periuk ‘spherical’ Tefal turut membantu meratakan haba dalam periuk, sekaligus menyediakan hidangan yang sempurna.

Malah, anda juga boleh ambil peluang ini untuk juga sama-sama membakar kuih bersama ayah anda sempena Hari Raya yang bakal menjelang. Jika anda ingin mengadakan jamuan berbuka beramai-ramai pada Hari Bapa, periuk nasi Tefal RK8045 ini juga menyediakan hidangan nasi untuk 14 orang pada satu-satu masa!

BERBELANJA SAMBIL MEMBANTU GOLONGAN SUSAH

(Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

Bagi anda yang sering membeli barangan dapur pada hari Ahad, anda boleh berkunjung ke pasar raya Giant pada hujung minggu ini. Bukan sekadar untuk berbelanja, anda dan ayah anda juga boleh menderma barangan dapur ke bank makanan Jamiyah sempena hari-hari akhir Ramadan ini.

Jadikan Hari Bapa ini lebih istimewa dengan membantu golongan yang memerlukan dengan usaha gabungan antara Jamiyah dan 5 cawangan Giant, iaitu di Tampines, IMM, Sembawang Shopping Centre, Sunshine Place dan Loyang Point.

Anda hanya perlu membeli barangan yang disarankan di laman Giant seperti beras, makanan dalam tin atau biskut, dan letakkan barangan yang didermakan itu di ruang khas berhampiran kaunter khidmat pelanggan. Yang pasti Hari Bapa akan lebih bermakna bagi ayah anda kerana beliau dapat melakukan kebaikan selain menyumbang kepada masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan