Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 stesen MRT di Tuas West dibuka 18 Jun ini

Empat stesen baru MRT di Tuas West Extension (TWE) akan mula beroperasi pada 18 Jun, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (27 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Apr 2017 11:39AM Dikemas Kini : 27 Apr 2017 10:59PM

SINGAPURA: Empat stesen baru MRT di Tuas West Extension (TWE) akan mula beroperasi pada 18 Jun, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (27 Apr).

Terdiri daripada empat stesen yang bukan bawah tanah - iaitu Gul Circle, Tuas Crescent, Tuas West Road dan Tuas Link, TWE dijangka memanfaatkan 100,000 penumpang setiap hari.

Para penumpang yang bekerja di estet-estet perindustrian Jurong dan Tuas boleh menjangkakan penjimatan yang ketara pada tempoh perjalanan mereka, menurut LTA.

Sebagai contoh, perjalanan dari Ang Mo Kio ke Tuas West boleh dikurangkan dari sekitar 1 jam 40 minit kepada lebih sejam saja.

Bagi memudahkan proses pemindahan antara kereta api dan bas serta akses ke kawasan itu, LTA juga akan mempertingkat rangkaian khidmat bas yang ada sekarang.

Maklumat operasi mengenai TWE dan rangkaian bas yang dipertingkat akan didedahkan dalam masa beberapa minggu mendatang, tambah LTA.

TWE akan beroperasi menggunakan sistem isyarat baru yang akan digunakan di Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL).

Selain keempat-empat stesen itu, projek TWE yang merangkumi pembinaan jejambat Tuas, yang dibuka pada 18 Februari tahun ini, turut meliputi depot bersepadu seluas 26 hektar, yang berupaya menyediakan kemudahan penyenggaraan sehingga 60 kereta api, termasuk 13 kereta api NSEWL yang diperuntukkan bagi TWE.

Satu rumah terbuka akan diadakan pada 16 Jun, di mana keempat-empat stesen akan dibuka kepada orang ramai dari 12.00 tengah hari hingga 8.00 malam.

Selain dapat menaiki kereta api di TWE secara percuma, para pengunjung juga boleh menyertai pelbagai permainan dan kegiatan, menurut LTA.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai TWE, LTA juga akan mengadakan beberapa pameran bergerak sebelum TWE dibuka.

Pameran itu akan diadakan selama 10 hari di keempat-empat stesen di Laluan Timur-Barat: Antara 7.00 pagi hingga 9.00 pagi di Jurong East, Boon Lay, Pioneer dan Joo Koon; dan antara 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Boon Lay dan Joo Koon. 

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan