4 ditangkap, lebih 1,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas
Kastam Singapura pada Khamis (7 Dis) menyatakan bahawa pihaknya merampas sebanyak 1,024 karton dan 710 paket rokok tidak dibayar cukai dalam dua operasi yang berkaitan.
SINGAPURA: Sebanyak 1,024 karton dan 710 paket rokok yang tidak dibayar cukai dirampas dalam dua operasi yang dijalankan oleh Kastam Singapura pada 4 dan 5 Dis. Seorang lelaki warga China, Xu Songxin, 32, dan tiga lelaki rakyat Singapura ditangkap dalam operasi tersebut, katanya dalam satu kenyataan hari ini (7 Dis).
Dalam operasi pertama pada 4 Disember, para pegawai Kastam Singapura melihat Xu meninggalkan sebuah unit kondominium di Holland Road.
(Gambar: Kastam Singapura)
Para pegawai bertindak untuk memeriksa atas Xu dan mendapati 260 karton dan 421 paket rokok disimpan di dalam biliknya di unit tersebut.
Kastam Singapura menyatakan siasatannya menunjukkan Xu menyimpan rokok-rokok tersebut di dalam biliknya sementara menantikan arahan lanjut tentang penghantaran.
Siasatan kes itu membawa kepada satu lagi operasi pada keesokan harinya, 5 Disember.
(Gambar: Kastam Singapura)
Para pegawai mengekori kereta yang dipandu ke tempat letak kereta di Jurong West Street 41 lalu berhenti bersebelahan sebuah van.
Dua lagi lelaki menghampiri kenderaan-kenderaan itu untuk memindahkan sebuah kotak dari van ke kereta tersebut.
Para pegawai merampas lagi 764 karton dan 289 paket rokok tidak dibayar cukai. Kedua-dua kenderaan juga dirampas dalam operasi berkenaan.
Tiga rakyat Singapura ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan rokok tidak dibayar cukai. Jumlah GST yang terlibat dalam kedua-dua operasi itu masing-masing bernilai sekitar S$96,140 dan S$7,060.
Xu dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Negara pada 6 Disember kerana menyimpan rokok tidak dibayar cukai.
Siasatan masih diteruskan bagi tiga lagi lelaki rakyat Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.