Images
  • curators malay
    Kurator-kurator Melayu (dari kiri) Khairuddin Hori, Iman Ismail dan Syed Muhd Hafiz. (Gambar-gambar: Helmy Saat)

3 kurator Melayu, antara sang penyuluh penting dunia muzium tempatan

SINGAPURA: Hakikatnya, tidak ramai yang tahu dengan hakiki akan peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh golongan kurator muzium.

Hakikatnya, mereka jualah penghubung antara masyarakat dan karya-karya seni di muzium kerana mereka menjadi kaca mata masyarakat menerusi pemilihan serta lakaran naratif yang membentuk sesuatu pameran.

"Proses pekerjaan kuratorial ini sangat rumit sebenarnya. Ia termasuk kerja-kerja yang berkaitan dengan logistik, kerja-kerja berkaitan dengan penapisan, dan berdebat dengan seniman dan punya perbincangan dengan para pengumpul seni atau orang-orang yang bekerja di institusi-institusi umum seperti muzium dan sebagainya.

"Jadi, seorang kurator itu harus boleh bersikap terbuka dan boleh mengelola dan mempunyai talian dengan pelbagai jenis orang," jelas Khairuddin Hori, 42 tahun, seorang kurator di Chan + Hori Contemporary.


Khairuddin Hori, kurator di Chan Hampe Galleries. 

HARUS LEBIH KREATIF

Lulusan Kolej Seni LASALLE dan Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) itu menekankan perlunya melihat di luar batasan atau di luar "templat akademik".

Beliau berasa, di Singapura wujud batas ruang-ruang 'white cube' atau kamar putih yang sering dikaitkan dengan kesenian. "Jadi, kita harus lebih kreatif," jelas Encik Khairuddin.

Apabila ditanya tentang proses pembelajaran dan pendidikan aliran seni di Singapura, Encik Khairuddin percaya "ada kekurangan, terutama sekali, ramai seniman tidak berhubungan dengan seniman daripada aliran lain".

Encik Khairuddin mahu melihat perubahan dibuat ke arah di mana para penggiat seni pelbagai disiplin bergabung tenaga kreatif, lantas membuka lebar laluan kepada peluang-peluang berkolobarasi.

Di Galeri Nasional Singapura, kini terdapat sekitar 20 kurator.

Salah seorang daripada mereka ialah Syed Muhd Hafiz, penolong kurator yang sebelum ini pernah menyumbang tenaga dalam pameran "Iskandar Jalil: Kembara Tanah Liat".

"Kami kebanyakan datang daripada latarbelakang yang bukan daripada semestinya latihan seni halus atau dari sekolah seni. Ada yang dari NUS, ada yang dari SMU. Jadi...harus ada tanggungjawab atau kecenderungan untuk mempromosi sejarah senirupa Singapura. Itu pada saya ciri yang penting," kata Encik Hafiz, 32 tahun.


Hafiz Syed Muhammad, penolong kurator. 

Beliau sebelum ini pernah melalui program sarjana muda dalam bidang pengurusan seni, di LASALLE, sebelum melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana di luar negara.

Karyawan tinggi lampai itu berpendapat, pendedahan kepada pelbagai pengalaman di dalam dan luar negara memainkan peranan dalam membentuk minda seseorang kurator menjadi lebih terbuka untuk menguruskan hasil karya seni dari seluruh dunia.

ADAKAH ANJAKAN PARADIGMA DALAM ZAMAN DIGITAL

Namun, adakah terdapat anjakan paradigma dari segi kupasan isu-isu yang dipilih para penggiat seni zaman digital? Atau, lebih memprihatinkan lagi kekurangan penerokaan sesuatu isu?

"Pada saya, topik-topik yang disebut tadi masih menjadi topik yang kesukaan atau hangat antara para artis muda, di Singapura. Tetapi, kalau ada satu topik yang saya fikir harus dikupaskan dengan lebih mendalam adalah topik sejarah," saran beliau.

Apa lagi ciri-ciri penting harus ada dalam diri seseorang untuk menjadi kurator muzium yang cemerlang?

"Pada pendapat saya, apa yang harus pada setiap individu yang ingin menceburi bidang ini adalah satu, minat. Kedua, keikhlasan kerana apa yang selalu kita lihat dalam galeri-galeri harus juga diterima para pendatang," kongsi Iman Ismail, 36 tahun, penolong kurator, di Muzium Negara Singapura.


Iman Ismail, penolong kurator di Muzium Negara Singapura. (Gambar-gambar: Helmy Saat)

Beliau menekankan, apa yang dipamerkan di muzium, sebenarnya untuk masyarakat.

Encik Iman, lulusan sarjana dalam bidang seni halus merupakan di antara 11 kurator yang kini bertugas di muzium tersebut.

APA CIRI YANG MEMBERI KELEBIHAN ISTIMEWA?

Lebih daripada pendidikan aliran seni serta keperluan menimba pengalaman, apakah ciri yang memberi kelebihan istimewa kepada generasi muda yang mahu berkecimpung dalam bidang ini?

Keunikan Singapura memberi golongan ini pemangkin untuk menawarkan sesuatu yang berbeza kepada dunia kerana "Singapura mempunyai atau hidup dalam 'dua' dunia. Dunia yang agak tradisional kalau kita mahu dan juga dunia sangat moden", menurut pengamatan Encik Khairuddin.

Pada masa yang sama, pendekatan terhadap karya seni juga boleh diubah bagi membantu pemahaman.

"Saya melihat seni itu sebagai semacam bahasa kerana ramai orang melihat sesuatu karya seni, dan sering berkata mereka tidak faham. Seperti bahasa, kita tidak mengerti semua bahasa yang ada dalam dunia ini," ujar Encik Khairuddin lagi penuh falsafah.

"Tanpa kita berkomunikasi dengan seni, seni sudah berkomunikasi dengan kita, dalam satu detik sahaja kita melihat kesenian," sambung beliau lagi. 

- BERITAMediacorp/nd

Top