Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 graduan Universiti Al-Azhar dari S'pura julang Ijazah Imtiyaaz sejak 2010

Sejak tahun 2010, tiga graduan Universiti Al-Azhar dari Singapura berjaya menjulang Ijazah Kepujian Kelas Pertama Imtiyaaz.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak tahun 2010, tiga graduan Universiti Al-Azhar dari Singapura berjaya menjulang Ijazah Kepujian Kelas Pertama Imtiyaaz.

Ijazah kepujian kelas pertama sememangnya sudahpun tinggi, namun Imtiyaaz adalah lebih tinggi daripada itu, bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik semasa menduduki ijazah asas. Lebih menarik lagi, ketiga-tiga menerima Ijazah Imtiyaaz itu adalah perempuan.

Mereka adalah:

1) Tan Nurul Hafidzah Abdul Hadi, yang meraih Imtiyaaz pada 2013 dan kini merupakan pensyarah di Unit Pendidikan Islam Pergas.

2) Nur Suhailah Watib pula menerima Imtiyaaz pada 2014 dan kini bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah syarikat pendidikan privet.

3) Nur Diyana Zait, yang menerima pengiktirafan tersebut tahun ini.

Kedutaan Singapura di Mesir dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mula menganjurkan majlis konvokesyen khas bagi graduan Al-Azhar dari Singapura enam tahun lalu.

PERLU RAIH 80% MARKAH BAGI SETIAP MATAPELAJARAN

Untuk mendapatkan Imtiyaaz dari Universiti Al-Azhar - iaitu universiti Islam paling berprestij dan tertua di dunia - seorang mahasiswa itu perlu meraih sekurang-kurangnya 80 peratus markah bagi setiap mata pelajarannya, setiap tahun. Prestasi cemerlang itu harus dikekalkan sehingga mahasiswa tersebut tamat pengajian.

Cik Diyana yang diwawancara menerusi Skype dari Mesir baru-baru ini, mendalami bidang Syariah Islam. Beliau berkongsi dengan BERITAMediacorp cabaran bahasa Arab yang berbeza yang perlu dilaluinya semasa mula-mula menuntut di Kaherah.

"Mereka menggunakan bahasa pasar. Sehinggakan di kuliah dan kelas-kelas mereka menggunakan bahasa pasar juga. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk menguasai atau memahami bahasa Arab pasar di sini," kata Cik Diyana.

APA RAHSIA KEJAYAANNYA?

Namun itu tidak menghalang beliau untuk cemerlang dan meraih pengiktirafan tertinggi. Cik Diyana mendedahkan, rahsia kejayaannya ialah mengamalkan belajar secara konsisten dan berkumpulan. Beliau bagaimanapun tidak mempunyai formula belajar yang berlainan daripada pelajar lain.

"Belajar berkumpulan dengan teman-teman sekuliah, kerana di situ kami dapat mengongsi pandangan dan bertanya soalan. Yang kedua saya akan mula menghafal dan selepas hafal saya akan menulis balik dalam secara peta minda," ujar Cik Diyana.

Seperti para penerima terdahulu, Cik Diyana juga bercadang untuk menjadi seorang pendidik sekembalinya beliau ke Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan