Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

$21,000 disumbang pemimpin pelbagai agama bagi mangsa Aceh, Rakhine

Para pemimpin pelbagai agama sumbang $21,000 bagi meringankan kesengsaraan mangsa bencana gempa di Aceh dan keganasan di Rakhine, Myanmar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin pelbagai agama sumbang $21,000 bagi meringankan kesengsaraan mangsa bencana gempa di Aceh dan keganasan di Rakhine, Myanmar.

Cek disampaikan para pemimpin yang mewakili agama Islam, Buddha, Tao, Katolik, Kristian, Hindu dan Bahai, dalam satu majlis khas di Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah hari ini (16 Disember).

Ia bagi menyokong daya usaha Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk menawarkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di Banda Aceh, Indonesia dan Rakhine, Myanmar.

Pemegang amanah RLAF, Habib Hassan Al-Attas melahirkan penghargaan beliau atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan semua kumpulan agama terlibat.

“Ramai telah maju ke hadapan apabila melihat beberapa bencana yang berlaku di alam sekitar di negara-negara jiran”, ujar Habib Hassan yang juga Imam Masjid Ba’alwie.

Tambah beliau, “bahawa kita cepat memberikan bantuan, tidak kira bangsa dan agama, kita bersatu untuk membantu orang-orang yang perlu dibantu.”

Wakil Lembaga Endowmen Hindu, Encik Kesavapany Krishnasamy pula berkata, “Saya dukacita apabila kejadian sebegini terjadi, kerana di mana sahaja ada krisis kemanusiaan, kita mesti pergi membantu. Sebab itu IRO kali ini berkumpul bersama dan apa bantuan yang kita boleh, kita beri."

Para pemimpin juga bertakafur seminit bagi memperingati para mangsa di Aceh dan Rakhine.

Pada 7 Disember lalu, daerah Pidie Jaya di Aceh dikejutkan dengan gempa sekuat 6.5 skala Rikter.

Menurut pihak berkuasa, angka korban melebihi 100 orang dan banyak bangunan musnah akibat bencana alam itu.

Di Rakhine pula, keganasan tercetus menyusuli serangan-serangan kumpulan militan ke atas tiga pondok polis sempadan pada 9 Oktober lalu.

Orang ramai masih boleh menghulurkan bantuan dengan menyumbang wang tunai atau cek ke Bangunan Muis di Hab Islam Singapura.

Mereka juga boleh membuat derma online menerusi laman Muis.

Tabung-tabung derma turut diletakkan di semua 70 masjid merata Singapura sehingga Isnin depan.(19 Disember).

Hasil kutipan derma akan dibahagikan sama rata bersama rakan kerja RLAF yang menyediakan bantuan kemanusiaan kepada kedua-dua masyarakat terjejas.

(Gambar-gambar: MUIS)

Bagi operasi bantuan di Aceh, RLAF bekerjasama dengan Mercy Relief, yang juga aktif mencari derma dalam talian melalui "Bantuan kepada Aceh".

RLAF juga akan bekerjasama dengan badan-badan sesuai yang menawarkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas di Rakhine. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan