Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kali diberhentikan kerja, tapi Kamarudin Osman terus bertekad pertingkat kemahiran IT

Tekad beliau untuk terus menajamkan kemahiran dan memberanikan diri meneroka bidang-bidang baru membantu karyawan IT Kamarudin Osman, 56 tahun, untuk bangkit semula setelah diberhentikan kerja bukan sekali tapi dua kali.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kali diberhentikan kerja, tapi Kamarudin Osman terus bertekad pertingkat kemahiran IT

Encik Kamarudin Osman tidak berpeluk tubuh. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 20 Aug 2017 09:01PM Dikemas Kini : 20 Aug 2017 09:08PM

SINGAPURA: Tekad beliau untuk terus menajamkan kemahiran dan memberanikan diri meneroka bidang-bidang baru membantu karyawan IT Kamarudin Osman, 56 tahun, untuk bangkit semula setelah diberhentikan kerja bukan sekali tapi dua kali.

Lulusan sistem maklumat dan pengurusan itu pertama kali menerima surat pemberhentian kerja pada tahun 2005, seleps firma farmaseutikal di mana beliau bekerja melalui penggabungan.

Ia mengambil masa setahun sebelum beliau mendapat pekerjaan baru.

Setelah diberhentikan, Encik Kamarudin mengikuti beberapa kursus untuk menimba kemahiran baru, termasuk kursus pentadbiran pangkalan data Oracle dari Universiti Oracle.

USAHA TAJAMKAN KEMAHIRAN PROSES BERTERUSAN

Menurut Encik Kamarudin usaha menajamkan kemahirannya adalah satu proses yang berterusan sejak menceburi bidang IT pada tahun 1999.

Encik Kamarudin sentiasa mengenal pasti jurang pengetahuan yang ada dan didorong matlamat kerjaya serta minatnya, beliau merancang kursus yang ingin diikutinya bagi menajamkan kemahiran.

Encik Kamarudin Osman meneroka peluang baru dalam bidang IT. (Gambar: MCI)

Encik Kamarudin Osman meneroka peluang baru dalam bidang IT. (Gambar: MCI)

Pada tahun 2015, semasa Encik Kamarudin bertugas sebagai pengurus serantau bagi Timur Tengah dan Asia untuk sebuah syarikat berbilang negara yang menawarkan khidmat pengilangan dan khidmat sokongan di lokasi, beliau sekali lagi diberhentikan.

Namun, kali ini beliau lebih bersedia.

Seminggu sebelum diberhentikan kerja, Encik Kamarudin baru saja selesai mengikuti kursus diploma profesional dalam perancangan sumber perusahaan di institut latihan Lithan Academy, memanfaatkan subsidi pemerintah di bawah Rangka Kerja Kecekapan Infokom Negara (NICF).

"Saya tahu tentang rancangan (syarikat) untuk disusun semula. Dalam industri ini, (memang) ada kemungkinan anda diberhentikan. Jadi saya mengikuti kursus ini untuk meningkatkan pengetahuan (supaya) saya boleh meneroka bidang baru IT," kata Encik Kamarudin, yang dijadikan contoh oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (20 Ogos).

BUKAN KALI PERTAMA TINGKAT KEMAHIRAN

Ini bukanlah kali pertama bapa lima anak itu meningkatkan kemahirannya walaupun masih mempunyai pekerjaan.

Pada tahun 2013, beliau mengikuti program kepimpinan IT di Universiti Nasional Singapura (NUS), juga di bawah NICF, untuk terus mengetahui perkembangan terkini.

Semasa mencari kerja, Encik Kamarudin mendapat tahu tentang Program Rakan dan Ahli Teknologi Keselamatan Siber (CSAT), iaitu inisiatif Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura.

Setelah membaca dan mendapatkan maklumat lanjut tentang keselamatan siber, iaitu bidang yang pesat berkembang dalam sektor IT, Encik Kamarudin memutuskan untuk menyertai program latihan selama enam bulan dan diterima oleh syarikat telekomunikasi Singtel pada bulan Julai tahun lalu.

Encik Kamarudin Osman meneroka peluang baru dalam bidang IT. (Gambar: MCI)

Encik Kamarudin Osman meneroka peluang baru dalam bidang IT. (Gambar: MCI)

Singtel merupakan salah sebuah firma yang menyertai program tersebut.

Encik Kamarudin kemudian belajar dan menimba kemahiran dalam rangka kerja keselamatan siber, dasar-dasar dan prosedur.

Setelah selesai mengikuti program itu pada bulan Januari tahun ini, beliau bekerja sebagai perunding keselamatan IT di Singtel di mana pasukannya menjalankan tugas yang merangkumi keselamatan, tadbir urus dan pematuhan bagi firma tersebut dan juga prasarana sistem maklumat pelanggan termasuk menangani dan mengawal insiden keselamatan siber.

Program CSAT itu juga menawarkan pentauliahan karyawan seperti Pengurus Insiden Bertauliah dari penyedia latihan keselamatan maklumat EC-Council.

"MESTI TERUS PERTINGKAT DIRI, MELABUR"

Meskipun Encik Kamarudin sekarang sudah kembali bekerja, beliau tidak berpeluk tubuh.

Misalnya, beliau merancang untuk membelanjakan $2,500 untuk mengikuti program latihan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Bertauliah di EC-Council, dengan memanfaatkan geran dari pemerintah.

"Saya akan terus mempertingkat diri supaya saya boleh terus maju jaya dalam bidang keselamatan siber," beliau memberitahu Mediacorp.

Matlamat Encik Kamarudin adalah untuk memainkan peranan di peringkat pertengahan-pengurusan setelah memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

"Anda mesti terus mengikuti perkembangan terkini dan melabur untuk diri sendiri supaya apabila peluang datang, anda sudah bersedia untuk melangkah ke peringkat seterusnya dan kekal relevan tidak kira dalam bidang apa pun, khususnya bidang IT," kata beliau. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan