Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 graduan cemerlang Politeknik Ngee Ann mempersiapkan diri memenuhi kehendak kerjaya diceburi

Dua graduan Politeknik Ngee Ann memilih haluan yang lain daripada lain dalam memburu impian masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua graduan Politeknik Ngee Ann memilih haluan yang lain daripada lain dalam memburu impian masing-masing.

BURU IMPIAN MESKI DITENTANG IBU BAPA

Tiada siapa yang menyangka bidang kejururawatan menjadi pilihan kerjaya Mohamed Farouq Mohamed.

Namun itulah cita-citanya sejak dari kecil lagi, meskipun, menerima tentangan daripada ibu bapanya.

Berkat tekad untuk membuktikan keupayaannya, Farouq berjaya dinobatkan sebagai Valediktorian Sekolah Sains Kesihatan bagi Kejururawatan dan menggondol Anugerah Lee Kuan Yew yang berprestij tinggi.

Ini sekaligus menggelarkan beliau Pelajar Paling Cemerlang Politeknik Ngee Ann (NP) tahun ini.

"Saya harus, saya kena selalu percaya pada diri sendiri. Saya mahu menjadi inspirasi kepada pelajar jururawat yang lain kerana pada pendapat saya, bidang kejururawatan itu adalah pelajaran yang kita belajar sepanjang hayat," ujar beliau.

Farouq ditawarkan tempat dalam kursus Kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

BERI PELUANG, KETERSEDIAAN, KESEDARAN KEPADA MASYARAKAT

Bagi Suzana Slemat, juga graduan NP, ilmu yang diraih semasa dalam kelas dimanfaatkan untuk membangunkan sebuah perusahaan sosial.

Kecil di pandangan mata, namun kafe 'Puzzles' sebenarnya kaya dengan makna.

Baru setahun jagung, ia ditubuhkan khusus bagi menyediakan pekerjaan kepada golongan kurang daya pendengaran.

Pengalaman beliau sewaktu bergaul dengan rakan-rakan dan kanak-kanak yang kurang daya pendengaran telah membuka matanya mengenai penerimaan khalayak ramai terhadap mereka.

Dari situlah terbitnya aspirasi untuk memulakan perniagaan yang boleh menyumbang semula kepada masyarakat.

"Mereka agak malu untuk menggunakan bahasa isyarat. Itu apabila orang sedang melihat kita. Saya rasa ia penting untuk membuat sesuatu untuk menyebarkan kesedaran. Objektif saya adalah untuk memberi peluang, ketersediaan dan kesedaran kepada masyarakat," kata Suzana.

Meskipun memendam hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan bisnes di peringkat universiti, tumpuan Suzana kini adalah untuk memantapkan dan mengembangkan 'Puzzles' di politeknik lain serta ITE kelak.

Suzana dan Farouq merupakan antara lebih 4,880 graduan NP yang menerima diploma mereka tahun ini.

Majlis konvokesyen yang pertamanya berlangsung pagi tadi, dengan diserikan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Faishal Ibrahim, selaku tetamu terhormat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan