Images
  • nsf mandai road
    Dua anggota NS yang membantu seorang penunggang motosikal yang cedera. (Gambar: Facebook/ Mohamed Klazick) 

2 anggota NS dipuji kerana bantu penunggang motosikal yang cedera di Mandai Rd

SINGAPURA: Dua anggota tentera perkhidmatan negara (NSmen) dipuji Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) hari ini (13 Ogos) kerana "menyumbang meskipun tidak diperlukan atau dijangkakan dalam tugasan mereka" selepas kedua-duanya memberi bantuan kepada seorang penunggang motosikal yang cedera dalam satu kemalangan.

Leftenen Muda Tan Hae San, seorang jurulatih di Institut Artileri serta Lans Koperal Chung Jing Kai, paramedik tentera dari Pusat Perubatan Khatib, sedang dalam perjalanan ke Kem Khatib selepas satu latihan apabila mereka ternampak kemalangan di Mandai Road.

Menurut seorang pengguna Facebook Mohamed Klazick, yang menyaksikan tindakan baik itu pada 11.20 malam semalam, menulis di laman Facebooknya bahawa "kedua-dua askar itu cuba yang terbaik ... untuk memastikan penunggang yang cedera itu selamat dan memberi pertolongan di luar tugasan mereka".

Encik Mohamed menyifatkan kedua-dua askar itu sebagai "wira" yang tidak hanya melindungi negara "semasa peperangan" tetapi juga menghentikan kenderaan tentera mereka dan menyediakan bantuan "barisan depan" semasa insiden sebegini.

Mereka patut diiktiraf SAF, tambah Encik Mohamed.

Di laman Facebooknya, SAF memuji tindakan kedua-dua NSmen itu yang "memikirkan masyarakat" sambil menarik perhatian bahawa mereka memberikan bantuan kepada penunggang motosikal yang cedera sebelum pasukan paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura tiba di tempat kejadian.

"(Kami) ingin mendoakan agar penunggang motosikal yang cedera itu cepat pulih dan memuji NSmen kami kerana ke hadapan apabila diperlukan," tambah SAF.

- CNA/RU/ru

Top