Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

19,000 flat bakal dibina bagi kejiranan baru - Kampong Bugis, Holland Plain & Bayshore

Sebanyak 19,000 unit di tiga kejiranan baru - iaitu Kampong Bugis, Holland Plain dan Bayshore - sedang dalam perancangan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Oct 2017 06:38PM Dikemas Kini : 16 Oct 2017 10:44PM

SINGAPURA: Sebanyak 19,000 unit di tiga kejiranan baru - iaitu Kampong Bugis, Holland Plain dan Bayshore - sedang dalam perancangan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong membuat pengumuman tersebut hari ini (16 Okt) di majlis perasmian pameran yang memaparkan saranan-saranan bagi daerah-daerah baru itu.

"Kami mahu memastikan daerah perumahan di masa hadapan terus memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat Singapura," kata Encik Wong.

MASA DEPAN KURANG BERGANTUNG KEPADA KERETA, LEBIH INKLUSIF DAN HIJAU

Dengan meningkatnya jumlah pengangkutan yang dikongsi dan kurangnya keperluan untuk memiliki kereta, jalan-jalan raya dan tempat meletak kereta semakin lama semakin kurang diperlukan. Ini sekaligus membolehkan lebih banyak ruang disediakan untuk masyarakat dan juga kawasan-kawasan hijau pada masa hadapan, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Sehubungan itu, kawasan tersebut akan direka bagi memenuhi visi masa hadapan - iaitu kurang bergantung kepada kereta, lebih inklusif dan menghijau.

Sebagai contoh, tempat-tempat meletak kereta mungkin dibina bawah tanah bagi mengurangkan jumlah kereta di jalan raya. Rangkaian pejalan kaki, laluan berbasikal dan pengangkutan awam yang lebih lancar juga membentuk sebahagian daripada rancangan bagi daerah-daerah baru itu.

Bagi mewujudkan kawasan kejiranan lebih terbuka dan mesra pejalan kaki, bangunan-bangunan privet akan menggunakan sempadan yang bercirikan pancutan air dan landskap bagi menggantikan pagar atau tembok-tembok seperti yang ada sekarang bagi perumahan privet.

Mereka yang bukan penduduk juga dapat memanfaatkan kemudahan komersil dan masyarakat di aras bawah bangunan, manakala kemudahan-kemudahan privet boleh ditempatkan di tingkat lebih tinggi.

Lebih banyak ruang dengan tanam-tanaman menghijau akan diwujudkan bagi menghubungkan rangkaian mesra alam di seluruh negara. Sebuah sistem penyenggaraan sampah secara automatik - yang mengasingkan tempat membuang sampah dan barangan yang boleh dikitar semula - akan disediakan.

KAWASAN PALING BESAR - BAYSHORE

Kawasan paling besar daripada ketiga-tiga daerah itu adalah Bayshore, iaitu kawasan seluas 60 hektar yang akan terletak bersebelahan East Coast Park.

Ia akan menampung sekitar 12,500 perumahan awam dan privet dan dijangka dilancarkan selepas tahun 2024, apabila stesen kereta api Bayshore dan Bedok South selesai dibina.

Jalan raya utama sejauh satu kilometer dijangka dibuka di kawasan itu dan akan dibarisi dengan deretan taman, kedai-kedai dan kemudahan lain seperti pusat jagaan kanak-kanak dan kemudahan untuk warga emas.

Menurut URA, perancangan bagi kawasan itu akan dapat disesuaikan mengikut perubahan teknologi pada masa akan datang.

Sebagai contoh, lorong-lorong di jalan raya akan dikurangkan dari tiga kepada dua. Penggunaan kenderaan tanpa pemandu pada masa akan datang pula mungkin akan membolehkan lebih banyak ruang diadakan bagi laluan pejalan kaki dan taman.

HOLLAND PLAIN: BANGUNAN PENCAKAR LANGIT MESRA ALAM

Satu lagi kawasan yang akan dibangunkan adalah Holland Plain yang akan dilancarkan dari tahun 2021. Ia terletak berhampiran stesen King Albert Park dan Koridor Kereta Api dan kawasan seluas 34 hektar itu boleh menampung sekitar 2,500 unit privet.

Di sana, sebuah taman tanah paya dan dataran masyarakat meliputi lebih 30 peratus daripada keseluruhan kawasan akan dibangunkan.

Selain itu ciri-ciri seperti tanam-tanaman menghijau di bangunan-bangunan pencakar langit yang terletak di kawasan pembangunan privet serta laluan mesra alam juga akan dibangunkan di selurah kawasan itu.

Tanam-tanaman menghijau pada bangunan pencakar langit dapat mengurangkan suhu persekitaran kepada sekitar 3°C dan membantu pengaliran air hujan dengan lebih baik, menurut URA.

KAMPONG BUGIS

Tapak pertama yang akan dibangunkan dalam masa terdekat, iaitu satu hingga dua tahun akan datang adalah Kampong Bugis. Kawasan seluas 17 hektar itu - paling kecil berbanding Bayshore dan Holland Plain - akan menempatkan sekitar 4,000 unit privet.

Kawasan itu meliputi tiga stesen kereta api - Lavender, Kallang dan sebuah stesen baru pada masa akan datang iaitu Bendemeer.

Pemaju utama akan dilantik untuk merancang dan melaksanakan kerja-kerja binaan dan membangunkan prasarana awam.

Para pemaju yang berminat akan dipelawa membentangkan konsep mereka seiring dengan beberapa kriteria lain.

Kawasan kejiranan itu akan direka bagi memenuhi keperluan para penduduk yang menggunakan pengangkutan awam dan yang menggunakan kaedah mobiliti lain seperti berbasikal dan berjalan kaki. Oleh itu, tempat-tempat meletak kereta boleh diubah suai kepada satu tempat meletak kereta bagi setiap dua unit perumahan, menurut URA.

Buat masa ini, satu tempat meletak kereta disediakan bagi setiap unit perumahan privet.

Dengan "hanya 15 minit" dari kawasan bandar jika mengayuh basikal, daerah itu akan memanfaatkan rancangan lanjutan laluan berbasikal dari kawasan bandar ke Bishan melalui Kampong Bugis, sekaligus menyambungkan penghubung-penghubung taman di kawasan tersebut.

Buat pertama kali, satu sistem menyenggara sampah secara automatik akan dilaksanakan di seluruh kawasan itu. Bangunan-bangunan akan dilengkapi dengan tempat berasingan bagi membuang sampah dan barang-barang yang boleh dikitar semula. Ia akan dikumpulkan dari sebuah lokasi pusat.

URA sedang mengumpulkan maklum balas awam mengenai rancangan-rancangan bagi daerah-daerah akan datang dan saranan-saranan yang akan dipamerkan di atrium Pusat URA sehingga 20 November.

Orang ramai boleh memberikan maklum balas secara online di laman ura.sg/futurehoods.

 

Sumber : CNA/IM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan