Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

16 Senator Indonesia lawat badan seperti MENDAKI, Taman Bacaan untuk belajar pengalaman S'pura

Sekumpulan 16 Senator dari Indonesia kini di Singapura dan antara lain mengunjungi beberapa badan-badan Melayu/Islam tempatan untuk mempelajari pengalaman badan-badan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekumpulan 16 Senator dari Indonesia kini di Singapura dan antara lain mengunjungi beberapa badan-badan Melayu/Islam tempatan untuk mempelajari pengalaman badan-badan berkenaan.

Mereka antara lain merumuskan bahawa pendekatan Singapura dalam menangani isu-isu masyarakat yang boleh menjejas keutuhan unit keluarga, boleh dicontohi negara-negara tetangga.

Senator Batam, Encik Hardi S. Hood berkata: "Beberapa tempat NGO yang kami lawati, kami melihat mereka bersungguh-sungguh mendidik masyarakat dari kalangan tidak mampu, dari pelajar-pelajar yang dikatakan kekurangan dalam pembelajaran.

Beberapa senator dari Indonesia mengunjungi Taman Bacaan bagi mempelajari pengalaman badan tersebut. (Gambar: Taman Bacaan)

"Mereka bersungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak itu supaya dapat menjadi anak-anak yang mampu bersaing dengan anak-anak yang lain. Ini temuan-temuan yang kami fikir, boleh menjadi contoh."

Semasa lawatannya ke Taman Bacaan, delegasi Indonesia itu berkongsi rasa kagum dengan kerjasama rapat yang ditonjolkan antara badan-badan Melayu/Islam, masyarakat dan pemerintah.

Ini terutamanya dalam menangani isu-isu sensitif seperti dadah, dan masalah radikalisme.

Beberapa senator dari Indonesia mengunjungi Taman Bacaan bagi mempelajari pengalaman badan tersebut. (Gambar: Taman Bacaan)

Senator Bali, Dr Gusti Arya Wedakarna turut berkongsi rasa "agak terperanjat" beliau tentang bagaimana dari umat muslim dalam badan-badan tempatan dan para pemimpin di sini sangat terbuka berbicara tentang radikalisme.

"Saya sangat terperanjat dengan pandangan mereka yang sangat mendukung langkah-langkah anti-radikalisme, baik dari peringkat keluarga sampai kepada tahap pendidikan, sampai kepada pandangan masyarakat. Ini luar biasa, Singapura amat hebat dalam hal ini," ujar beliau.

(Gambar-gambar: Taman Bacaan)

Pelantikan Puan Halimah Yaacob sebagai Presiden Singapura baru-baru juga menarik perhatian sebahagian delegasi ini, yang menyifatkannya sebagai "rekod sejarah luar biasa", yang boleh dipelajari kaum minoriti di negara-negara lain.

Anggota delegasi ini dijadualkan untuk bertemu dengan Menteri Negara Kanan Dr Maliki Osman dan Setiausaha Parlimen kanan, Dr Faishal Ibrahim. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan