Images
  • Bendemeer
    Sekolah Rendah Bendemeer. 

14 sekolah rendah, 6 sekolah menengah digabung pada 2019

SINGAPURA: Sebanyak 14 sekolah rendah dan enam sekolah menengah akan digabungkan pada 2019, disebabkan oleh saiz kohort yang lebih kecil dan demografik yang kian berubah-ubah di estet-estet perumahan, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (20 Apr).

Perubahan demografik itu menyebabkan pembahagian pelajar yang tidak seimbang bagi sekolah rendah dan menengah, menurut MOE di satu taklimat yang diadakan hari ini.

Permintaan bagi tempat dalam Darjah 1 di estet-estet matang juga sudah merosot, menyebabkan lebihan tempatan dan pendaftaran yang rendah di sesetengah sekolah. Bagaimanapun, bagi estet-estet yang lebih muda, sekolah-sekolah baru mungkin perlu dibangunkan bagi menampung permintaan yang lebih tinggi untuk mendapatkan tempat di sana, tambah MOE.

Sekolah-sekolah rendah yang akan digabungkan ialah:

-  Sekolah Rendah East View dan Junyuan, ditempatkan di Sekolah Rendah Junyuan.

-  Sekolah Rendah Balestier Hill dan Bendemeer, ditempatkan di Sekolah Rendah Bendemeer.

-  Sekolah Rendah Da Qiao dan Jing Shan, ditempatkan di Sekolah Rendah Jing Shan.

-  Sekolah Rendah Damai dan East Coast, ditempatkan di Sekolah Rendah Damai.

-  Sekolah Rendah Coral dan White Sands, ditempatkan di Sekolah Rendah White Sands.

-  Sekolah Rendah Casuarina dan Loyang, ditempatkan di Sekolah Rendah Casuarina.

-  Sekolah Rendah Cedar dan MacPherson, ditempatkan di Sekolah Rendah Cedar. 

Sebuah sekolah rendah baru di Sengkang, Sekolah Rendah Fern Green, akan mula beroperasi pada 2018. Menurut MOE, ini bagi memenuhi permintaan yang tinggi untuk mendapatkan tempat di sekolah tersebut di estet berkenaan.

Sekolah-sekolah menengah yang akan digabungkan ialah:

- Sekolah Menengah Yuhua dan Shuqun, ditempatkan di Sekolah Menengah Yuhua.
- Sekolah Menengah East Spring dan East View, ditempatkan di Sekolah Menengah East Spring.
- Sekolah Menengah Hong Kah dan Jurongville, ditempatkan di Sekolah Menengah Jurongville.

Buat julung-julung kalinya, lapan maktab rendah juga akan digabungkan, menjadikannya penggabungan sekolah yang terbesar sejak 10 tahun lalu.

MANFAAT PENGGABUNGAN

Menerangkan manfaat di sebalik penggabungan itu, MOE menarik perhatian bahawa sekolah-sekolah memerlukan "jisim genting" pelajar untuk mengendalikan program-program yang dapat memenuhi keperluan dan minat pelajar.

Bagi sekolah-sekolah lebih kecil, program pendidikan dan kegiatan luar darjah (CCA) mungkin terbatas. Sebagai contoh, Sekolah Menengah Siglap tidak dapat meneruskan unit Palang Merah dan badminton sebagai kegiatan luar darjah.

Dengan kelas yang berkurangan di sebuah sekolah rendah, gabungan subjek di peringkat menengah atasan juga mungkin terbatas.

Para pelajar di sekolah-sekolah yang digabungkan itu akan mendapat pilihan program pengayaan yang lebih baik dan luas, di samping lebih banyak gabungan subjek dan pilihan CCA yang lebih menarik.

Penggabungan sekolah bukanlah sesuatu yang baru, menurut MOE. Enam buah sekolah rendah digabungkan pada 2015 dan lapan sekolah menengah digabungkan pada tahun lalu dan 22 sekolah menengah akan digabungkan pada tahun ini dan tahun depan.

- CNA/aw

Top
>