Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

102 orang diberkas dalam operasi anti-tailong di S'pura

Polis memberkas lebih 100 suspek pada minggu ini kerana didakwa terlibat dalam kegiatan tailong.

Anggaran Waktu Membaca:
102 orang diberkas dalam operasi anti-tailong di S'pura

Pegawai polis memeriksa rumah yang diganggu tailong. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 27 Apr 2017 10:03PM Dikemas Kini : 27 Apr 2017 10:05PM

SINGAPURA: Polis memberkas lebih 100 suspek pada minggu ini kerana didakwa terlibat dalam kegiatan tailong.

Kesemuanya, 79 lelaki dan 23 wanita diberkas dalam satu operasi di seluruh negara yang berakhir semalam (26 Apr).

Menurut polis dalam satu kenyataan media, dua suspek memberikan maklumat palsu semasa mendapatkan hutang dan lapan suspek dipercayai orang suruhan yang membantu tailong menjalankan pemindahan wang menerusi ATM atau memperolehi kad-kad ATM bagi sindiket tersebut.

Empat suspek dipercayai mengganggu mangsa dengan menyimbah cat dan menconteng pada tembok.

Kebanyakan suspek, 88 daripada mereka, dituduh membuka akaun bank dan memberikan kas serta nombor PIN kepada tailong untuk memudahkan perniagaan meminjamkan wang secara haram.

Di bawah Akta Pemiutang, pesalah kali pertama yang didapati menjalankan atau membantu perniagaan meminjamkan wang tanpa lesen boleh didenda antara $30,000 dengan $300,000, dipenjara sehingga empat tahun dan dirotan sehingga enam kali sebatan.

Mereka yang didapati bersalah bertindak bagi pihak pemiutang tanpa lesen, melakukan atau mencuba melakukan sebarang gangguan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda antara $5,000 dengan $50,000 dan dirotan antara tiga hingga enam kali rotan.

Siasatan polis terhadap semua suspek, yang berusia antara 21 dengan 75 tahun masih dijalankan.

Lewat bulan lalu, polis memberkas 114 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan tailong dan lagi 111 diberkas awal bulan Mac.

Menurut polis, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat dalam kegiatan tailong, tidak mengira peranan mereka. Mereka yang disabit kesalahan akan dijatuhi hukuman.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan