Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 hilang, 5 cedera selepas kapal perang AS berlanggar kapal tangki di timur S'pura

Seramai 10 anak kapal dilaporkan hilang dan lima yang lain cedera selepas sebuah kapal pemusnah Amerika Syarikat terlibat dalam pelanggaran dengan kapal pedagang di kawasan timur Singapura pada Isnin (21 Ogos), menurut Tentera Laut Amerika Syarikat dalam kenyataannya.

Anggaran Waktu Membaca:
10 hilang, 5 cedera selepas kapal perang AS berlanggar kapal tangki di timur S'pura

Kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain kelas Arleigh Burke. (Gambar: US Navy/Mass Communication Specialist Seaman Apprentice Gavin Shields/Released)

Diterbitkan : 21 Aug 2017 09:43AM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 09:50AM

SINGAPURA: Seramai 10 anak kapal dilaporkan hilang dan lima yang lain cedera selepas sebuah kapal pemusnah Amerika Syarikat terlibat dalam pelanggaran dengan kapal pedagang di kawasan timur Singapura pada Isnin (21 Ogos), menurut Tentera Laut Amerika Syarikat dalam kenyataannya.

Kapal perang Tentera Laut Singapura juga dikerahkan bagi membantu kapal perang Amerika Syarikat tersebut.

Kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain sedang berlayar ke arah Singapura apabila ia bertembung dengan kapal tangki minyak dan kimia Alnic MC pada 5.24 pagi waktu Singapura, menurut Ehwal Awam Armada ke-7 Amerika Syarikat dalam kenyataannya.

Kapal perang itu mengalami kerosakan pada sebelah kiri badan kapal, di sebelah belakangnya.

Selain kapal Angkatan Tentera Laut Republik Singapura RSS Gallant, helikopter RSN, kapal Polis Pengawal Pantai Singapura Basking Sharks dan kapal tunda sedang membantu kapal perang Amerika itu.

Tentera Laut Amerika juga menghantar pesawat Osprey V-22 dan helikopter Seahawk Sikorsky SH-60 dari kapal penggempur USS America bagi menghulurkan bantuan.

Menurut laman trafik marin, Alnic MC sedang menuju ke Singapura dari Taiwan apabila kemalangan itu berlaku. Pada 6.58 pagi, kapal pedagang itu kelihatan seperti berada di hujung Laut China Selatan, yang berlayar ke arah barat menuju Singapura.

Tangki minyak Alnic MC. (Gambar: MarineTraffic)

Tangki minyak Alnic MC. (Gambar: MarineTraffic)

Tentera Laut Amerika menyatakan bahawa kapal pemusnah kelas Arleigh Burke itu sedang melakukan persinggahan yang biasa dilakukan di pelabuhan Singapura apabila pelanggaran itu berlaku.

"Usaha mencari dan menyelamat sudah dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan," menurut Tentera Laut Amerika. Bagaimanapun, pihaknya tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai kemungkinan mangsa, sambil merujuk bahawa tahap kerosakan dan kecederaan kakitangan masih lagi dihitung.

Berukuran sepanjang 154 meter, kapal USS John S McCain seberat 9,000 tan itu adalah lebih kecil berbanding Alnic MC yang sepanjang 183 meter dan seberat 30,040 tan.

Kapal USS John S McCain, iaitu sebahagian daripada Armada Pasifik Amerika Syarikat, berpangkalan di Yokosuka, Jepun. Menurut catatan di laman Facebook pada 19 Ogos, kapal perang itu kali terakhir melakukan rondaan di Laut China Selatan bagi menyokong keselamatan dan kestabilan rantau Indo-Asia-Pasifik.

Ini adalah pelanggaran terbaru antara kapal perang Tentera Laut Amerika dan sebuah kapal pedagang sejak akhir-akhir ini.

Pada 17 Jun, kapal pemusnah USS Fitzgerald bertembung dengan penghantar muatan yang menyebabkan tujuh orang maut di atas kapal tersebut.

Sumber : Today/CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan