Images
  • employers
    Gambar fail TODAY.

1 daripada 2 majikan tiada rancangan gajikan pekerja kurang daya pendengaran

SINGAPURA: Hanya satu daripada 10 majikan yang ditinjau mempunyai sikap positif terhadap pengambilan pekerja yang kurang daya pendengaran.

Satu daripada dua majikan pula tidak merancang untuk berbuat demikian.

Demikian menurut dapatan tinjauan sekumpulan mahasiswa tahun akhir dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang dijalankan ke atas 77 buah syarikat.

Antara sebab yang diberikan termasuk keprihatinan sekiranya golongan tersebut tidak dapat berkomunikasi dengan para pelanggan, majikan dan rakan sekerja. Beberapa majikan turut mendedahkan bahawa mereka belum menerima pemohonan kerja daripada golongan itu.

Meskipun sikap terhadap golongan kurang daya pendengaran berubah secara bertahap-tahap, golongan itu dan persatuan-persatuan yang bekerjasama dengan mereka mendapati dapatan tinjauan itu tidak mengejutkan.

Mereka menarik perhatian bahawa mendapatkan pekerjaan tetap merupakan cabaran besar kepada golongan tersebut.

Untuk mendampingi para majikan, Persatuan Orang Pekak Singapura (Sadeaf) melancarkan khidmat sokongan pekerjaan pada Januari.

Ia mendapati bahawa banyak syarikat terbuka untuk menggajikan dan menawarkan peluang kerja yang setara kepada golongan pekak atau kurang daya pendengaran.

Tinjauan tersebut dijalankan oleh sekumpulan mahasiswa dari Sekolah Komunikasi dan Perhubungan Wee Kim Wee di NTU.

Dinamakan "Breaking the Sound Barrier", kumpulan itu mahu menggalak para majikan supaya mengambil pendekatan lebih positif dalam menggajikan golongan pekerja itu.  

- TODAY/im

Top
>