Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,300 belia remaja muslim dan ibu bapa diberi ilmu jadi muslim produktif

1,300 remaja, belia dan ibu bapa Melayu/Islam hari ini mendapat tunjuk ajar bagaimana menjadi muslim yang produktif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 1,300 remaja, belia dan ibu bapa Melayu/Islam hari ini mendapat tunjuk ajar bagaimana menjadi muslim yang produktif serta peri pentingnya menetapkan matlamat kehidupan dengan secara serius.

Mereka dibimbing oleh pakar motivasi muslim terkenal, iaitu Abu Productive, yang secara keseluruhan berkongsi ilmu, bagaimana untuk mengamal gaya hidup penuh bermakna agar dapat meningkatkan daya penghasilan kehidupan demi menempa kejayaan.

Sambutan bagi Wacana Youth aLIVE hari ini pimpinan penulis, jurulatih dan penceramah motivasi, Abu Productive atau nama sebenarnya, Encik Mohammed Faris, begitu menggalakkan walaupun ini kali ketiga beliau ke Singapura untuk menyuntik semangat mengejar impian dalam kalangan belia setempat.

Abu Productive berceramah semasa acara itu. (Gambar: BERITAMediacorp)

Abu Productive yang juga merupakan pengasas dan CEO ProductiveMuslim.com itu mempunyai lebih 1 pengikut di Facebook. Beliau dikenali sebagai pakar motivasi bagi meningkatkan daya penghasilan golongan belia Muslim.

RANGSANG BELIA SUSUN LANGKAH KECIL NAMUN HOLISTIK DALAM KEJAR IMPIAN

Seminar sehari siang tadi yang bertajuk 'Melayari Sebuah Kehidupan Yang Berbaloi' meliputi cara menetap matlamat hidup serta bagaimana untuk mencapainya dari segi rohani, fizikal dan sosial.

"Saya berharap mereka pelajari dua perkara. Pertama, pentingnya matlamat hidup. Jadi mereka harus mula menetapkan matlamat kehidupan dan fikirkan tentangnya secara serius. Kedua, menyusun rancangan tindakan yang praktikal untuk melaksanakan matlamat hidup mereka," kata Encik Mohammed Faris kepada BERITAMediacorp.

"Kita tidak mahu sebuah acara motivasi di mana mereka hanya terangsang buat sehari kemudian pada keesokannya, mereka melupakannya. Tetapi dengan melakar pelan sebenar. Ini boleh dilakukan, saya boleh melakukannya," terang beliau lebih lanjut.

Abu Productive bersama para peserta seminar itu. (Gambar: MUIS)

Selain mempelajari petua, kaedah dan aplikasi praktikal yang dapat membantu mereka menguruskan fokus, masa serta tenaga, para peserta juga dinasihati tentang pentingnya meraih sokongan daripada orang tersayang di kala memburu cita-cita.

NIKMATI HASIL MENERUSI USAHA BERPANJANGAN

Bagi menggalak amalan penetapan matlamat yang berterusan, para peserta diberi kelengkapan daya penghasilan untuk dibawa pulang.

Kelengkapan itu bukan sahaja bagi mencorak strategi ke arah kejayaan, ia juga membantu mereka menyemak semula niat dan takwa yang ditanamkan.

Menurut salah seorang peserta, Mohamed Shafiq Mohamed Shadiq: "Seminar ini memberi saya akal untuk mempertingkatkan kerja seharian saya dan saya tahu apa yang boleh dilakukan untuk mengarahkan diri saya kepada cita-cita saya."

"Seminar ini telah mengajar saya bagaimana untuk membahagikan masa kepada mana yang penting dan tidak penting. Juga, telah mengajar saya untuk membuka minda dan menerima perubahan dan mengambil risiko," kongsi seorang lagi peserta, Nur Emilia Natasha Khairul Anuar, kepada BERITAMediacorp.

50 ASATIZAH JUGA DILATIH, PERSEDIAAN UNTUK MODUL BARU

Abu Productive dalam satu sesi latihan untuk para asatizah. (Gambar: MUIS)

Seminar ini dianjurkan bagi mempersiapkan para asatizah dan pelajar Youth aLIVE untuk sebuah modul baru, dipanggil Muslim Produktif. Modul tersebut diperkenalkan sebagai langkah mengemas kini kurikulum aLIVE dan ia bakal dimulakan pada bulan Julai ini khusus untuk para peserta Teens aLIVE tahun ketiga.

Semalam, seramai 50 tenaga asatizah menghadiri sesi latihan kendalian Abu Productive bagi mempelajari cara mengajar modul baru itu dengan lebih berkesan iaitu bersesuaian dengan pendekatan program aLIVE.

"Kami juga mengundang Abu Productive untuk memberikan sesi yang khusus untuk melatih para asatizah bagaimana cara untuk mengendalikan modul tersebut. Dan memberikan tip-tip dan saranan kepada mereka tentang cara atau pendekatan yang terbaik untuk memberikan contoh-contoh kepada para remaja," jelas Penolong Pengarah Unit Strategik Pendidikan Belia dan Masyarakat MUIS, Mohamad Khidir Abdul Rahman.

Mereka yang menghadiri seminar itu pada hari ini. (Gambar: BERITAMediacorp)

Seminar yang berlangsung di Max Atria Singapore Ekspo itu turut dihadiri sekitar 300 ibu bapa.

Pada tahun-tahun mendatang, dijangkakan lebih banyak sesi perkongsian dan perdampingan bersama Abu Productive bakal dianjurkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan