Images
  • Susu badan

Wow! Wanita ini hasilkan hampir 7 liter susu badan sehari! Sudah derma 2,270 liter susu!

AMERIKA SYARIKAT: Tidak semua masalah yang dihadapi seseorang adalah sesuatu yang negatif. Bagi wanita yang satu ini, masalah yang dialaminya malah dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Elisabeth Anderson-Sierra, 29 tahun, yang berasal dari Beaverton Oregon, tubuh beliau adalah 'kilang susu'!

Beliau menghabiskan masa selama 10 jam setiap hari untuk mengepam susu badannya. Ini kerana, berbeza dengan kebanyakan ibu di luar sana, tubuh beliau menghasilkan jauh lebih banyak susu.

Cik Elisabeth mengalami Sindrom Hiperlaktasi, yang bermakna tubuh beliau menghasilkan 6.6 liter (1.75 gelen) susu badan setiap hari. Jumlah itu hampir 10 kali ganda berbanding jumlah purata yang dihasilkan para ibu lain, lapor Daily Mail.


SUDAH DERMA 600 GELEN SUSU BADAN

Namun, susu badan yang banyak itu tidak terbazir memandangkan beliau memilih untuk mendermakannya kepada para ibu bapa yang memerlukan atau yang tidak mampu memberikan susu badan yang mencukupi kepada bayi mereka.

Sejauh ini, Cik Elisabeth sudahpun mendermakan sebanyak 2,270 liter (600 gelen) susu badan demi membantu ratusan ibu lain menyusu anak mereka, lapor Daily Mail.

Semua susu badan yang jumlah keseluruhan kalorinya sekitar 4,950 - dibungkus, dilabel dan disimpan dalam empat peti sejuk di rumah beliau. Cik Elisabeth menetap bersama dua anak perempuannya - dua tahun dan enam bulan - dan juga suami David Sierra, 52 tahun.


Mungkin bagi sesetengah orang kegiatan mengepam susu badan berjam-jam lamanya setiap hari kedengaran agak meletihkan, namun bagi Cik Elisabeth beliau langsung tidak mengeluh.

"Saya sudah menyedari saya menghasilkan jauh lebih banyak susu badan semasa saya hamil dengan anak pertama, tetapi apabila saya hamil anak kedua bekalan susu saya semakin banyak," jelas Cik Elisabeth.

"Sekarang (anak kedua) Sophia sudah berusia enam bulan dan saya mengepam sebanyak lima kali sehari - sebaik saja bangun tidur, selepas sarapan, selepas makan tengah hari, selepas makan malam dan sekali lagi pada tengah malam.

"Saya menghasilkan sehingga 2.3 liter (0.625 gelen) susu semasa sesi mengepam yang pertama saja.

5 JAM SEHARI PAM SUSU BADAN

"Secara keseluruhannya saya akan menghabiskan masa selama lima jam sehari hanya untuk mengepam dan sekitar lapan hingga 10 jam untuk menyimpan, melabel, membersihkan dan sebagainya.

"Proses mengepam susu badan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan - tidak selesa dan menyakitkan - tetapi saya menyifatkannya sebagai tugas yang dilakukan dengan penuh perasaan kasih. Saya belum pernah mengambil cuti walau sehari pun dalam tempoh dua tahun setengah; ia lebih daripada tugas sepenuh masa," kata Cik Elisabeth.

Sekitar separuh daripada susu badannya diambil sendiri dari rumahnya oleh para ibu atau pasangan tempatan dan lagi separuh didermakan kepada bank susu Prolacta Bioscience di California, lapor Daily Mail.

Menurut Cik Elisabeth, beliau dibayar AS$1 bagi setiap auns susu yang didermakan kepada bank susu itu sebagai ganti kepada masa yang dihabiskan mengepam susu. Namun Cik Elisabeth berkata beliau tidak meraih keuntungan daripada kegiatan mengepam itu.

Sebaliknya, beliau menggunakan wang yang diterima bagi peralatan, penyimpanan dan makanan tambahan yang diperlukan untuk terus mengepam susu dan mendermakannya.

KALAULAH CIK ELISABETH ADA DI S'PURA...

Singapura baru sahaja melancarkan sebuah Bank Susu pada bulan Ogos tahun ini demi membantu para ibu yang tidak dapat memberikan susu yang secukupnya bagi bayi pramatang khususnya.

Program itu dijangka memanfaatkan sekitar 900 bayi yang menerima jagaan neonatal di KKH, Hospital Besar Singapura dan Hospital Universiti Nasional dalam tempoh tiga tahun.

Jadi, kalaulah Cik Elisabeth ada di Singapura, atau ada orang seperti beliau di Singapura, Bank Susu di negara ini mungkin tersenyum kerana beliau seorang mampu membantu begitu ramai bayi yang memerlukan.

LAPORAN BERKAITAN:

S'pura lancar bank derma susu ibu yang pertama

Isteri sedang menyusu badan. Takkan suami tengok sahaja? Ini yang boleh anda buat...



- Agensi Berita/NK/fa

Komen Anda?

Top