Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita Muslim diraikan majalah Vogue dalam rencana khas sempena ulang tahun ke-125

Empat wanita Muslim di Maryland, Amerika Syarikat diraikan dan ditampilkan dalam majalah Vogue bagi rencana fotografi ‘Islam di Amerika’.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Muslim diraikan majalah Vogue dalam rencana khas sempena ulang tahun ke-125

Seorang wanita Islam di New York. (Gambar hiasan: SPENCER PLATT / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / AFP)

Diterbitkan : 13 Mar 2017 12:22AM Dikemas Kini : 13 Mar 2017 12:54AM

NEW YORK: Empat wanita Muslim di Maryland, Amerika Syarikat diraikan dan ditampilkan dalam majalah Vogue bagi rencana fotografi ‘Islam di Amerika’.

Kisah mereka adalah antara banyak lagi kisah dan kehidupan wanita-wanita Amerika yang akan dipaparkan di majalah fesyen dan gaya hidup tersebut sempena ulang tahunnya yang ke-125 tahun ini, menurut Huffington Post.

Rencana khas bertajuk ‘Wanita Amerika’ itu terdiri daripada 15 portfolio portret-portret video dan gambar yang dirakamkan dan dipetik oleh pelbagai jurugambar.

SENTIASA BERDEPAN STEREOTAIP TENTANG WANITA MUSLIM

Zainab Chaudhary, iaitu pengurus pendampingan bagi Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) untuk Maryland, antara wanita Muslim yang dipaparkan dalam rencana Vogue itu.

Cik Chaudry berkata bahawa beliau sentiasa berdepan dengan stereotaip tentang Islam dan wanita Muslim.

“Kami bukan monolit. Ada sesetengah orang berpendapat kami semua sama sahaja. Tapi hakikatnya, kami datang dari latar belakang yang berpelbagai. Kami semua mempunyai pengalaman-pengalaman unik yang menentukan siapa kami,” katanya dalam rencana Vogue itu.

Gambar-gambar yang dipaparkan bagi rencana ‘Islam di Amerika’ dipetik oleh wartawan dan jurugambar, Lynsey Addarrio, yang sudah lebih sedekad memetik gambar orang-orang Muslim, biasanya di daerah-daerah di dunia ini yang dibelenggu perang dan konflik.

Cik Addarrio berkata meskipun beliau biasanya bertugas di kawasan-kawasan yang dilanda perang, beliau menganggap adalah penting untuk menjalankan tugasnya itu di AS pada masa ini, kerana sentimen islamofobia yang kian meningkat di situ.

HARAP RENCANA DAPAT HAKIS SALAH TANGGAPAN TERHADAP MUSLIM

Beliau memberitahu The Huffington Post bahawa beliau berharap rencana fotografinya itu dapat sedikit sebanyak menghakis salah tanggapan terhadap orang Islam di Amerika.

Ini lebih-lebih kerana sejak Presiden Donald Trump mengambil alih jawatan itu, beliau sudah mengeluarkan arahan-arahan eksekutif yang secara langsung dan secara tidak adil menyasarkan orang-orang Muslim, kata Cik Addario.

“Pada pendapat saya, penting bagi media aliran biasa menunjukkan bahawa orang-orang Muslim juga warga Amerika dan ramai warga Amerika merupakan penganut Islam, dan saya berharap kisah-kisah ini dapat menghapuskan sebarang salah tanggapan,” katanya.

Bagaimanapun, pengarah pengasas Vogue, Sally Singer, berkata rencana khas tentang wanita Amerika itu sebenarnya bukan ditujukan sebagai respons kepada Presiden Trump atau gerakan wanita yang kian meraih sokongan ekoran itu, kerana dipetik sebelum Encik Trump menjadi presiden.

Malah gambar-gambar bagi ‘Islam di Amerika’ dipetik Cik Addario pada Januari lalu, sebelum Presiden Trump mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani arahan eksekutif yang mengharamkan rakyat dari tujuh negara majoriti Muslim memasuki negara itu.

"KETENANGAN SEBELUM RIBUT"

Gambar-gambar itu, kata Julia Felsenthal dari Vogue, menunjukkan “semacam ketenangan sebelum ribut”.

Sejak Encik Trump mengeluarkan arahan tersebut, ramai Muslim, terutama yang mempunyai anggota keluarga dari tujuh negara tersebut, berasa tersisih dan disasarkan secara tidak adil.

Bahkan masjid-masjid juga dibakar, risalah-risalah anti-Islam muncul di universiti-universiti, bahkan orang Muslim yang bukan daripada enam negara majoriti muslim juga dilarang memasuki AS, menurut Huffington Post.

Justeru, Cik Addario berharap rencananya akan dapat membanteras insiden-insiden seperti itu, kerana “kami semua serupa, tidak kira agama apa yang kami anuti.”

“Kebanyakan wanita mahu hidup bahagia, berjaya dan jika mereka memilih untuk membina keluarga, mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka,” kata beliau lagi.

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan