Images
  • disiplin
    Anak Cik Demetis Payne yang digantung sekolah. (Gambar: Demetris Payne/Facebook)

Wanita ini 'hukum' anak bersihkan laman jiran setelah digantung sekolah

AMERIKA SYARIKAT: Cara mendisiplinkan anak-anak pada zaman sekarang memang jauh berbeza dengan zaman nenek moyang kita dahulu.

Pendekatan disiplin masa kini tidak sekeras zaman dahulu. Malah, mungkin ada juga segelintir ibu bapa yang tidak boleh menerima jika anak-anak mereka didisiplin di sekolah.

Lantaran itu, tidak hairanlah cara Cik Dementris Payne mendisiplinkan anaknya mendapat perhatian di media sosial.

Cik Payne, dari Shereveport Louisiana memutuskan untuk 'menghukum' anak lelaki beliau dengan menyuruhnya membersihkan laman rumah jiran tetangga mereka.

Ini setelah anaknya Jadarien Payne, 13 tahun digantung sekolah, lapor Daily Mail.

Cik Payne memuat naik gambar anak remajanya itu ke media sosial dengan kapsyen yang berbunyi: "Anak saya digantung sekolah selama tiga hari atas sebab disiplin. Dia akan memberikan khidmat membersihkan laman rumah anda, dia akan meratakan laman anda, memotong rumput jika mesin pemotong disediakan, membersihkan sampah atau mencuci kereta anda secara percuma."

"Maksimum tiga jam. Jika anda mempunyai pencakar dan mahu memberikannya (kepada anak saya), terima kasih. Dia akan melakukan semua kerja-kerja tersebut secara percuma," tambah beliau lagi.

Cik Payne juga memastikan rakan-rakan dan keluarganya sentiasa mengetahui perkembangan Jadarien sepanjang tiga hari itu dengan memuat naik beberapa gambar, lapor Daily Mail.

Kapsyennya pula berbunyi: "Terima kasih Cik Wills kerana mengizinkan kami membersihkan laman rumah anda dan menyokong kami. Ini adalah usaha sepasukan dan kami mendoakan lutut anda segera sembuh."

Rakan-rakan Cik Payne begitu kagum dengan cara beliau mendidik anaknya. Salah seorang daripada mereka berkata: "Selama pagi Cik Payne. Pernahkah anda terfikir untuk berkongsi idea-idea anda dengan para ibu bapa lain memandangkan cara anda 'menghukum' mungkin dapat membantu ramai lagi kanak-kanak menjalani kehidupan dengan betul. Cara mendidik yang begitu baik, teruskan."

Cik Payne memberitahu CBS News dalam satu wawancara bahawa pada mulanya penggantungan sekolah selama tiga hari itu kelihatan seperti hari cuti.

"Apabila saya pulang dari kerja anak saya sedang memakan strawberi dan bersuka ria dengan dengan bapa saya," ujar Cik Payne, sambil menambah "Saya berfikir yang ini tidak boleh jadi. Ini seperti hari cuti pula".

Cik Payne kemudian memberitahu rancangan beliau kepada Jadarien, yang tidak menganggapnya serius.

"Dia tidak percaya. Kadang kala saya agak memanjakannya," tambah Cik Payne.

Namun, Jadarien segera mematuhi arahan Cik Payne malah langsung tidak merungut.

Beliau menghabiskan sekitar dua jam membersihkan laman rumah jiran tetangganya, di sekurang-kurangnya lapan buah rumah, lapor Daily Mail.

Setelah selesai menjalani 'hukuman', Cik Payne membawa Jadarien ke perpustakaan.

"Kami menjelaskan kepada Jadarien bahawa kerja-kerja ini bukanlah untuk menghukum semata-mata namun ia adalah untuk memberikan pengajaran dan mengajarnya tentang disiplin," kata Cik Payne.

"Tidak kira sama ada gurunya betul atau salah, anda perlu sentiasa menghormati guru, hormat orang tua."

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top