Images
  • detik kasut story
    Encik Danial membeli kasut yang dihasilkan dalam bilangan terhad. 

Trend kumpul 'sneakers' kian berkembang di S'pura

SINGAPURA: Hobi mengumpul kasut-kasut sukan atau “sneakers” semakin berkembang di sini.

Ramai yang menjadikannya satu pelaburan kerana kasut-kasut edisi terhad boleh dijual semula pada harga tiga kali ganda dari harga asal.

Kegilaan Danial Mohksin kepada kasut bermula di bangku sekolah lagi.

Sehingga beliau sanggup bersengkang mata untuk menampung hobinya yang mahal itu.

"Selepas peperiksaan 'O', saya menghantar surat khabar di estet-estet perumahan untuk membeli kasut. Biasanya, saya mendapat $30 untuk setiap malam. Kalau saya kerja untuk tiga hari sudah boleh beli satu pasang kasut," kata Danial Mokhsin, seorang penggemar kasut.

Encik Danial membeli kasut yang dihasilkan dalam bilangan terhad. Apabila dijual semula, harganya boleh mencapai ribuan dolar.

Dengan kuasa membeli yang semakin meningkat, ia menyumbang kepada wujudnya sifat “mesti ada” dalam kalangan masyarakat kita.

"Mereka kurang faham nilai wang yang diberikan ibu bapa atau nilai wang yang mereka perolehi hasil pendapatan sambilan. Masalahnya sekarang mereka dibesarkan dalam zaman di mana kepuasan segera menjadi perkara yang biasa," kongsi Pengarah Neu Entity, Ferdaus Amzah.

Lantaran itu, Encik Ferdaus yang merupakan seorang pemilik syarikat pemasaran jenama berpendapat penggemar harus mencari ruang untuk menjadikan hobi mereka satu aset dan bukan tabiat yang menghabiskan duit begitu saja.

Program ehwal semasa DETIK malam ini (1 Nov) menyelami hobi unik di kalangan golongan muda dan bagaimana golongan muda berjaya mengembangkan hobi mereka untuk menjana kewangan.  

- BERITAMediacorp/NF/aq

Komen Anda?

Top