Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tengkolok dengan ikatan Dendam Tak Sudah antara alat kebesaran dalam upacara rasmi raja

Penggunaan peralatan kebesaran dalam upacara-upacara rasmi, khususnya pertabalan, sudah lama diamalkan oleh kerajaan-kerajaan beraja seperti Jepun dan England.

Anggaran Waktu Membaca:
Tengkolok dengan ikatan Dendam Tak Sudah antara alat kebesaran dalam upacara rasmi raja

Tengkolok Dendam Tak Sudah. (Gambar: Kerja Dari Rumah/Facebook)

Diterbitkan : 22 Apr 2017 11:00PM Dikemas Kini : 22 Apr 2017 11:04PM

KUALA LUMPUR: Penggunaan peralatan kebesaran dalam upacara-upacara rasmi, khususnya pertabalan, sudah lama diamalkan oleh kerajaan-kerajaan beraja seperti Jepun dan England.

Peralatan kebesaran adalah identiti atau imej pemerintah dan kerajaannya, dan menurut catatan sejarah, peralatan itu juga dibawa semasa peperangan, memburu, dan ketika raja keluar dari istana.

Antara barang yang dijadikan simbolik oleh raja-raja ialah senjata, pakaian, pingat, dan mahkota.

Bagi Malaysia yang memelihara institusi beraja dengan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara, terdapat alat-alat kebesaran khas yang diwarisi sejak kemerdekaan negara.

Sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V, rakyat akan berpeluang untuk menyaksikan alat-alat kebesaran ini.

PAKAIAN ISTIADAT​​​​

Pakaian istiadat yang akan disarungkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada majlis pertabalan, iaitu Muskat, Tengkolok, Pending dan Keris Pendek adalah sebahagian daripada peralatan kebesaran.

Muskat adalah pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang diilhamkan daripada pakaian tradisi rakyat Oman dan pakaian oleh Sultan negeri Kedah.

Muskat Yang di-Pertuan Agong mula digunakan pada 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj.

Kot panjang berwarna hitam dengan hiasan kerawang emas itu diturunkan dari Yang di-Pertuan Agong ke Yang di-Pertuan Agong seterusnya dan hanya dipakai pada acara tertentu iaitu Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan, semasa lawatan rasmi Baginda ke negeri-negeri di seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.

Tengkolok yang turut dipakai pada hari pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas.

Solek atau ikatan tengkolok dinamakan "Dendam Tak Sudah" yang berasal dari Negeri Sembilan.

Pada hadapan tengkolok disemat anak bulan dan bintang pecah empat belas diperbuat daripada emas putih, serta terdapat Lambang Persekutuan di tengah-tengah bintang.

PENDING DIRAJA DAN KERIS PENDEK

​​​​​​Pending pula diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah bersulamkan permata delima dan di tengah-tengahnya tertera Lambang Persekutuan.

Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas dengan corak berbunga.

Keris Pendek Diraja dipakai sebagai pakaian kebesaran dan hanya dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Keris itu diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas.

Hulu keris dinamakan "Hulu Pekaka" dan berupa kepala "Garuda", manakala pada sampir diterapkan dengan Lambang Persekutuan.

KERIS PANJANG

Keris Panjang Di-Raja adalah Keris Kerajaan yang menjadi tanda tanda kebesaran dan kekuasaan kerajaan.

Keris itu bersalut emas dari hulu hingga ke sarung, dan di atas sampir diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan serta lambang sebelas negeri Tanah Melayu.

Mata keris ditempa daripada besi waja yang diambil daripada 11 bilah keris dari negeri-negeri.

Hulu keris itu berbentuk "tapak kuda" dengan hiasan buah jering.

Keris Panjang Di-Raja hanya digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada istiadat tertentu sahaja.

COGAN ALAM DAN COGAN AGAMA

Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter.

Pada sekeliling bulatan di atas tongkat diterapkan lambang 11 negeri Tanah Melayu dan diperbuat daripada emas.

Bulatan itu ditanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkat dihiasi dengan motif enam tangkai padi daripada emas.

Pada bahagian paling atas pula diletakkan ukiran anak bulan dan bintang daripada emas.

Cogan Agama pula yang adalah sebatang tongkat perak sepanjang 155.04 sentimeter.

Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran, manakala pada puncak tongkat terdapat ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima diperbuat daripada emas.

ALAT PERANG ZAMAN SILAM

Peralatan diraja lain adalah alatan perang zaman silam, iaitu Cokmar, Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja.

Cokmar ialah dua batang tongkat pendek yang mempunyai hulu berbentuk kubah.

Cokmar diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter.

Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja ialah tiga senjata Melayu yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran diraja.

Keris Panjang dan Sundang bersalut dengan perak serta berukir-ukir di hulu dan sarungnya.

Peralatan Diraja yang turut memainkan peranan penting pada istiadat-istiadat rasmi ialah 20 kaki Payung Ubur-Ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera berwarna kuning diraja berpuncak anak bulan dan bintang, dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga yang diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung.  

Sumber : Bernama/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan