Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Telefon Galaxy S8 baru akan dijual di S'pura bulan depan

Adakah nombor 8 akhirnya akan menjadi nombor bertuah bagi Samsung?

Anggaran Waktu Membaca:
Telefon Galaxy S8 baru akan dijual di S'pura bulan depan

Telefon bijak Samsung Gaaxy S8. (Gambar: Samsung)

Diterbitkan : 30 Mar 2017 10:43AM Dikemas Kini : 30 Mar 2017 10:48AM

SINGAPURA: Adakah nombor 8 akhirnya akan menjadi nombor bertuah bagi Samsung?

Menyusuli isu kerosakan bateri pada telefon-telefon bimbit Galaxy Note 7 hingga menyebabkannya terbakar baru-baru ini, gergasi elektronik Korea itu melancarkan telefon bimbit terbaru dari siri Samsung Galaxy yang dinanti-nantikan selama ini, S8 dan S8+ semalam (29 Mac).

Didedahkan di acara 'Samsung Galaxy Unpacked' di New York pada 11.00 malam waktu Singapura, telefon-telefon bijak itu akan dijual di pasaran Singapura pada bulan depan, dan 21 April bagi pasaran-pasaran terpilih.

Apakah ciri-ciri yang boleh anda jangkakan dari S8 dan S8+?

SKRIN LEBIH BESAR

Kedua-dua alat Android 7.0 itu akan menampilkan skrin yang lebih besar daripada telefon-telefon Galaxy sebelumnya, Galaxy S7 seluas 5.1 inci dan Galaxy S7 edge 5.5 inci.

Telefon Galaxy S8 dan S8+ tidak menampilkan butang utama Samsung yang biasa didapati pada telefon Galaxy. Namun ia akan masing-masing mempunyai skrin 5.8 inci dan 6.2 inci 2960x1440 Quad HD+.

CIRI-CIRI YANG DIKEKALKAN

Anda boleh menjangkakan sesetengah ciri yang sama pada telefon-telefon Galaxy S8. Seperti Galaxy S7, ia dilengkapi kamera belakang 12-megapiksel f1.7 Dual Pixel serta kamera depan 8-megapiksel f1.7.

Kedua-dua S8 dan S8+ juga mempunyai ciri kalis air dan habuk IP68 serta ciri microSD (sehingga 256GB), ciri yang diperkenalkan semula pada telefon-telefon Galaxy S7.

BIXBY DIPERKENAL

Samsung S8 dan S8+ juga memaparkan pembantu digital yang menyaingi Siri dan Google Assistant, bernama "Bixby", yang diperkenalkan buat pertama kali dalam telefon Samsung.

Fungsi suara Bixby akan bergabung dengan "beberapa"aplikasi dan ciri Samsung termasuk Kamera, 'Contacts', Galeri, Mesej dan 'Settings'. Samsung menyatakan ia merancang untuk meluaskannya untuk menyertakan app Samsung lain dan app pihak ketiga lain pada masa hadapan.

PENGALAMAN KOMPUTER MEJA DAN VR

Lagi satu alat yang akan pertama kali dipaparkan Samsung dalam Galaxy S8 ialah stesen dok Samsung DeX.

Stesen dok itu sesuai digunakan dengan alat Galaxy S8, dan membolehkan telefon bijak itu dihubungkan dengan monitor yang sesuai dengan HDMI serta papan kekunci Bluetooth, USB atau jenis RF serta tetikus.

Stesen dok itu sudah dilengkapi Android UI yang menawarkan pengalaman komputer meja dan sesuai digunakan untuk app mudah alih Microsoft Office dan Adobe, Windows OS serta huraian-huraian oleh rakan kongsi seperti Citrix, VMware dan Amazon Web Services.

Stesen DeX itu akan dilengkapi dua port USB 2.0, Ethernet dan port USB jenis C serta teknologi cepat mengecas Adaptive Fast Charging untuk mengecas telefon bijak Samsung ketika ia dihubungkan.

Alat-alat Galaxy S8 juga sesuai dengan Gear V with Controller yang baru serta boleh dihubungkan kepada Gear 360 yang baru untuk menghasilkan video 360-darjah 4K serta gambar-gambar 15-megapiksel.

PERKAKASAN DAN BATERI

Dari segi prestasi, telefon-telefon Galaxy S8 akan dilengkapi pemproses octa-core 10nm yang "pertama kali diperkenalkan dalam industri ini" serta LTE gigabit dan Wi-Fi gigabit dengan sokongan sehingga 1Gbps.

Galaxy S8+ yang lebih besar akan dilengkapi bateri 3,500mAh sementara S8 akan memaparkan bateri 3,000mAh.

Kedua-dua telefon akan dijual dalam empat warna - hitam (Midnight Black), kelabu (Orchard Gray), perak (Arctic Silver), biru (Coral Blue) dan emas (Maple Gold).

(Gambar-gambar: Samsung)

Tidak jelas bila telefon-telefon dalam warna-warna ini akan dijual di Singapura.

Stesen DeX akan disediakan di seluruh dunia bersama dengan alat-alat Galaxy S8 dan mungkin ditawarkan sebagai satu pakej bergantung kepada rantau, menurut Samsung. 

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan