Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Taman tema animasi pertama di Asia buka pintu 26 Jun ini

Anggota Lembaga Pengarah MAPS Ramelle Ramli berkata taman tema itu kini sudah 96 peratus siap dan kini di peringkat akhir kerja-kerja hiasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Taman tema animasi pertama di Asia buka pintu 26 Jun ini

Taman tema berkonsepkan animasi yang pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS). (Gambar: Facebook/Movie Animation Park Studios)

Diterbitkan : 21 Apr 2017 05:25PM Dikemas Kini : 21 Apr 2017 05:26PM

IPOH: Taman tema berkonsepkan animasi yang pertama di Asia, Movie Animation Park Studios (MAPS), akan dibuka secara rasminya pada 26 Jun ini di Ipoh, Malaysia.

Anggota Lembaga Pengarah MAPS Ramelle Ramli berkata taman tema itu kini sudah 96 peratus siap dan kini di peringkat akhir kerja-kerja hiasan.

"Berlaku sedikit kelewatan kerana pihak kami mahu menambah lagi tarikan bagi memastikan taman tema ini berbaloi untuk dikunjungi

"MAPS mempunyai lebih 40 tarikan unik dengan enam tema animasi terkemuka dunia termasuk Boboiboy, The Smurfs dan beberapa watak animasi dari Dreamworks," katanya dalam sidang media selepas lawatan wakil media ke MAPS hari ini (21 Apr).

Ramelle berkata pihaknya optimis taman tema itu dapat menarik 700,000 hingga 800,000 pengunjung dari hari pertama pembukaannya, yang dijadual pada hari kedua Syawal sehingga akhir 2017.

Menurutnya MAPS giat melakukan promosi di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk di Arabian Travel Market (ATM) dan World Travel Market (WTM).

Dalam pada itu, Ramelle menjelaskan orang ramai yang membeli tiket MAPS sebelum ini tidak perlu khuatir kerana ia masih sah dan diterima mengikut terma dan syarat.

"Pas tahunan sah selama 12 bulan dari tarikh pembukaan manakala tiket harian sah tiga bulan dari tarikh pembukaan...kami amat menantikan kehadiran pengunjung," katanya.

Harga tiket MAPS bagi pemegang Mykad ialah RM148 (S$47) manakala RM117 (S$37) dikenakan untuk pemegang MyKid serta warga emas.

Taman tema itu, yang dibina di kawasan seluas 21 hektar, dapat menerima kira-kira 8,000 kunjungan sehari. Ia dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 10 malam pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat terkini orang ramai boleh melayari www.mapsperak.com atau www.facebook.com/mapsperak.

Sumber : Bernama/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan