Images
  • Power ranger wedding (3)
    Encik Ariffin bersama isteri dan hulubalang-hulubalang 'Superheroes' beliau. (Gambar ihsan: Ismadi)

‘Superheroes’ buka silat, jadi pengapit perkahwinan pasangan Melayu ini

SINGAPURA: Majlis perkahwinan Mohammed Ariffin Md Mazlan dengan Siti Ruzainah Kamis kelmarin (24 Sep) memang sungguh luar biasa. Ia dihadiri oleh empat orang ‘superhero’.

Lebih tepat lagi, tiga ‘Power Ranger’ dan satu ‘Black Panther’ dijadikan hulubalang dan pengapit pasangan raja sehari itu. Bukan itu sahaja, para ‘Superhero’ berkenaan turut mengamalkan budaya Melayu dengan membuka jurus-jurus silat pengantin diiringi paluan kompang yang bergema.


(Gambar ihsan: Ismadi)

Yang pasti, majlis persandingan Encik Mohammed Ariffin, 33 tahun dan isterinya yang berusia 32 tahun itu cukup meriah dan mencuit hati para tetamu yang hadir.

MAHU WUJUDKAN ELEMEN UNIK DALAM PERSANDINGAN

Manakan tidak, Encik Ariffin memberitahu BERITAMediacorp, keputusan beliau untuk menampilkan ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’ itu hanya diketahui keluarga terdekatnya serta adik-beradik Cik Siti Ruzainah.


(Gambar ihsan: Ismadi)

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah melihat beberapa perkahwinan Melayu yang turut menampilkan watak-watak dari filem popular selain didorong minatnya yang mendalam terhadap cosplay.

“Ini bukanlah sesuatu yang baru. Bagi majlis persandingan masyarakat Melayu, sudah ada yang melakukan sedemikian. Jadi apabila saya melihat ada majlis Melayu yang menampilkan watak ‘Storm Troopers’ dan ‘Ironman’, ia sedikit sebanyak memberikan saya idea.

“Mengapa tidak saya mengajak rakan-rakan saya untuk memakai kostum pada majlis persandingan saya. Walaupun ia majlis yang ringkas dan penuh tradisi, sekurangnya-kurangnya ada sesuatulah. Satu elemen unik,” pegawai keselamatan berusia 33 tahun itu memberitahu BERITAMediacorp.


Rakaman video majlis persandingan itu yang dikongsikan oleh seorang rakan Encik Ariffin kepada BERITAMediacorp menunjukkan tiga ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’ sedang berjalan mengiringi pasangan pengantin.


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

Tambah menggelikan hati apabila anda menyaksikan ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’ berkenaan membuka langkah dan bersilat di depan pengantin dalam satu lagi video yang dimuat naik di laman Facebook. Memang, sungguh mengelirukan apabila melihat orang berpakaian kostum penuh sedemikian melakukan gerak-gerak silat. Ibarat Ed Sheeran menyanyi lagu asli Pasir Roboh atau Seri Mersing.


LAKU! RAMAI MAHU BERGAMBAR DENGAN ‘POWER RANGERS’ & ‘BLACK PANTHER’

Encik Ariffin mendedahkan kepada BERITAMediacorp, minat beliau kepada cosplay begitu mendalam dan sudah menjadikan cosplay sebagai satu hobi sejak sekitar sembilan tahun lalu.

Menerusi minat itu jugalah, Encik Ariffin mengenali dan menjalin persahabatan dengan empat rakannya itu, yang sanggup bertukar wajah sehari suntuk demi menjayakan majlis persandingan beliau.


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

Salah seorang daripadanya, ialah Encik Muhammad Muhaymin Azman, yang memakai kostum ‘Power Rangers’ berwarna merah.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Encik Muhaymin berkata beliau dan rakan-rakannya tidak begitu terkejut apabila diminta untuk memakai kostum pada hari persandingan Encik Ariffin. Malah, beliau dan rakan-rakan lain yang ghairah untuk melakukannya.

“Kami ikut pengantin lelaki bertandang dari rumahnya ke rumah pengantin perempuan dan kemudian balik semula ke tempat pengantin lelaki. Jadi sepanjang hari kami ikut saja macam pengawal,” cerita Encik Muhaymin, sambil menambah para ‘superhero’ itu menaiki bas pengantin.


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

Menurut Encik Muhaymin, ramai yang meminta untuk bergambar!

“Ramai sis. Ramai! Malah ada satu sudut bergambar atau ‘photo booth’ yang disediakan di majlis pengantin perempuan untuk tujuan itu dan kami sendiri tidak tahu-menahu. Kami langsung tak menjangkakannya,” Encik Muhaymin memberitahu BERITAMediacorp.


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

PAKAI KOSTUM SELAMA 6 JAM!

Encik Muhaymin dan lagi tiga rakannya memakai kostum masing-masing dari sekitar pukul 10.30 pagi sehingga pukul 4.30 petang. Ini bermakna mereka memakai kostum itu selama lebih kurang enam jam!


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

Bayangkan, mereka berbuat demikian keadaan cuaca di Singapura ini panas.

“Panas ada juga, tapi kami ada masa untuk berehat seketika dan ini pun untuk rakan kami, jadi mengapa tidak. Lagipun, kami memang gemarkan kegiatan ini,” kata Encik Muhaymin, sambil menambah beliau sudah lama meminati cosplay dan mula memakai kostum sejak dua tahun lalu. Rakan-rakannya ada yang sudah mula memakai kostum sekitar tujuh hingga lapan tahun.


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

Beliau juga mendedahkan bahawa mereka merupakan anggota sebuah kumpulan cosplay yang lebih besar, yang dikenali dengan nama Tokucos Singapore di laman Facebook.

MAKCIK-MAKCIK TAK TAHU NAMA WATAK ‘HERO’ 


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

Menurut Encik Muhaymin, reaksi yang diterima daripada para tetamu di majlis itu pelbagai. Jika golongan muda sememangnya mengenali watak-watak seperti ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’, berbeza pula dengan makcik-makcik.

“Yang makcik-makcik ada bertanya ‘eh ini superhero yang mana ye? Ultraman ke?’,” kata Encik Muhaymin sambal tertawa.

“Makcik-makcik akan meneka bermacam-macam nama watak ‘superhero’ tetapi mereka tetap mahu bergambar dengan kami. Jadi kami layankan mereka. Saya tidak menyangka yang makcik-makcik itu begitu ‘sporting’. Kami membuat mereka gembira dan mereka membuat kami juga gembira,” ujar Encik Muhaymin.


(Gambar: Huzaini from Huz Studio)

BERITAMediacorp diberitahu walaupun ini kali pertama Encik Muhaymin dan rakan-rakannya memakai kostum bagi memeriahkan majlis persandingan, mereka sebenarnya sudah kerap menjalankan kegiatan sedemikian di acara lain seperti memakai kostum di hospital dan majlis sambutan hari lahir jika ada permintaan dan semuanya demi satu tujuan murni, iaitu menggembirakan orang lain.

Apabila ditanya sama ada beliau sendiri mahu menampilkan ‘hero’ filem pada majlis persandingan beliau sendiri pada masa akan datang, Encik Muhaymin berseloroh “Saya akan menimbangkannya”. 

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top