Images
  • swim
    (Gambar hiasan; AFP/Getty Images - Ezra Shaw)

Siswa universiti China diwajibkan tahu berenang sebelum tamat pengajian

BEIJING: Sebuah universiti terkemuka China dikecam di media sosial kerana mewajibkan para pelajarnya tahu cara berenang, sebelum dapat tamat pengajian.

Demikian menurut laporan oleh The Global Times yang diterbitkan pada Isnin (27 Mac).

Langkah Universiti Tsinghua untuk menguatkuasakan semula ujian berenang yang wajib dijalani para mahasiswanya - yang sebelum ini dihentikan akibat "kemasukan lebih ramai pelajar" dan "kekurangan kemudahan" - dipersoalkan dan dikritik oleh para pengguna media sosial China.

Malah sesetengah pengguna mempersoalkan adakah patut untuk mengharapkan para mahasiswa yang tinggal di kawasan pedalaman dalam keadaan "gersang" yang tidak mempunyai sungai, untuk tahu cara berenang.

Namun pentadbiran universiti tersebut tegas dengan keputusannya itu.

"Para pelajar yang tidak dapat berenang tidak boleh tamat pengajian mahupun belajar di luar negara," kata Liu Bo, pengarah jabatan pendidikan jasmani Tsinghua, seperti ditukil oleh The Global Times.

Beliau menjelaskan bahawa matlamatnya ialah untuk mempersiapkan para mahasiswa dengan "kemahiran hidup yang penting" dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka secara keseluruhannya, menurut laporan itu.

Namun beliau menambah pengecualian akan dibuat dengan sewajarnya.

- CNA/nd

Komen Anda?

Top