Images
  • Sheikh Haikel (2)
    (Gambar: Sheikh Haikel)

Sheikh Haikel buka cawangan kedua burger FatPapas, dikunjungi Tunku Mahkota Johor

BERITAMediacorp: Pelaburan rapper hip hop terkenal Singapura, Sheikh Haikel, membuka sebuah restoran burger halal bernama FatPapas nampaknya cukup berbaloi, sehinggakan beliau mengambil langkah membuka sebuah lagi cawangan – kali ini di Joo Chiat Road.

Ini dilaksanakan dalam masa beberapa bulan sahaja setelah restoran pertama FatPapas dilancarkan. Jika dilihat dari sudut perniagaan, ia adalah satu pencapaian yang luar biasa.

Cawangan kedua itu dibuka pada 1 Julai. Sebelum ini, suami kepada Anna Belle Francis itu membuka cawangan pertama FatPapas di Bali Lane pada Februari 2017.


TUNKU MAHKOTA JOHOR (TMJ) KUNJUNGI FATPAPAS

Restoran Fatpapas nampaknya bukan sahaja menarik orang Singapura, malah juga dari Johor. Lebih tepat lagi, Tunku Mahkota Johor (TMJ) - iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim - juga masuk ke Singapura bersama isterinya bulan lalu untuk merasai makanan dari FatPapas.

Kunjungan mengejut dari TMJ itu dilakukan pada bulan Ramadan lalu di cawangan Fatpapas di Bali Lane. Haikel mendedahkan bahawa beliau dan TMJ sebenarnya sudah lama berkawan. Berapa lama? Ini jawapan Haikel:

"TMJ adalah kawan Haikel. Dah nak masuk 14 tahun berkawan. Dia memberi kejutan pada malam itu. Selalunya jika dia nak turun ke mana-mana, dia akan bagi tau awal. Oleh kerana dia berhati-baik dan selalu ingin menggembirakan yang lain, dia datang secara mengejut. Kami berbesar-hati menerima kedatangan dia dan isteri.”


Restoran FatPapas sebenarnya adalah versi halal restoran FatBoy's yang cukup sinonim dengan burger-burgernya yang menyelerakan. FatBoy's sendiri dilaporkan mempunyai 20 cawangan di beberapa negara.

KENAPA HAIKEL BUKA CAWANGAN DI JOO CHIAT?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa Joo Chiat menjadi pilihan Haikel untuk membuka cawangan keduanya.

Rapper yang pernah membintangi filem popular Army Daze sedikit masa dahulu, menjelaskan kepada BERITAMediacorp begini: "Atas kesedaran bahawa di Joo Chiat tidak ada banyak makanan yang halal dan saya tahu ramai orang Islam ada di situ, bekerja di situ dan tinggal di kawasan Katong, Marine Parade dan Siglap."

Restoran tersebut turut memperkenalkan burger barunya iaitu Churger Royale. Burger ini tersangat istimewa kerana dibuat dari churros. Setakat ini, burger mereka yang paling terlaris di kedua-dua cawangan ialah Country Fried Sheikh.


Tidakkah beliau bimbang dengan persaingan sengit sedangkan terdapat banyak juga restoran-restoran serta cafe halal sekarang ini banyak menyajikan burger serta makanan Barat di merata Singapura?

"Haikel tak pernah rasakan mereka adalah persaingan kerana masing-masing ada keistimewaan sendiri. Haikel masih ke restoran lain kerana jika makanan itu sedap, ia perlu dihargai" katanya ikhlas.

Suami kepada Anna Belle Francis itu memberitahu BERITAMediacorp, FatPapas kini mendapat sambutan yang cukup baik di kalangan pelanggan-pelanggan Islam setempat.

"Secara jujur, saya bukanlah orang bisnis. Cuma saya tau adalah makanan yang sedap. Bila I makan dan I kata ia sedap, ia benar-benar sedap. Badan saya sendiri ini sebagai bukti!” kata Haikel sambil ketawa.


SUDAH ADA 2 RESTORAN, MENYANYI DITOLAK KETEPI?

Bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian Haikel kini setelah bergelar tauke dua buah restoran burger? Apakah ia tidak lagi penting dalam kamus hidup beliau? Menurutnya, muzik tetap menjadi sebahagian dari kehidupannya.

Malah, dalam masa terdekat ini, Haikel akan muncul dengan sebuah single terbarunya sebagai hadiah kepada para peminat yang mungkin sudah sekian lama menantikan lagu terbaru daripada bapa kepada tiga orang anak itu.


Yang pasti, single terbarunya itu nanti tiada kena mengena dengan burger.

"Bila Haikel buka restoran Bali Lane, dah berniat nak buat lagu tentang burger tapi rasanya akan ambil masa yang lama. Single saya nanti itu sudah direncanakan dulu sebelum adanya Fatpapas. Jadi saya rasakan single selepas ini adalah untuk Fatpapas sudah semestinya" kongsinya.

Untuk single terbarunya itu, Haikel memberi sedikit gambaran bahawa ia berkisar kepada 'percutian dan meluangkan masa bersama keluarga'.

HAIKEL JADI EJEN MEDIA SOSIAL PEMAIN BOLA SEPAK

Selain itu, beliau dan isteri juga juga mempunyai syarikat sendiri bernama Sports Star Network yang bertindak sebagai ejen 'menjaga media sosial" pemain bola sepak seperti Baihakki Khaizan dan Hariss Haruni.

Haikel dijangka akan ke Jakarta minggu depan untuk menguruskan syarikat tersebut sekaligus untuk pembukaan pejabat mereka di Jakarta nanti.

Katanya mengakhiri temuramah ini: "Ada kekosongan. Tiada yang menjaga ahli sukan. Kami bukanlah syarikat pengurusan tetapi ejen untuk menjaga media sosial."

LAPORAN BERKAITAN:

Sheikh Haikel & Anna Belle kini tauke Fatpapas, versi halal restoran popular FatBoy’s

- BERITAMediacorp/nk

Komen Anda?

Top