Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Selepas "nasi lemak anak dara", muncul pula "nasi lemak pondan"

"Nasi lemak pondan" yang diusahakannya dan kini menjadi popular tidak sekali-kali menghambatnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Selepas "nasi lemak anak dara", muncul pula "nasi lemak pondan"

Orang ramai beratur untuk membeli 'Nasi lemak pondan' di Cheras, Malaysia. (Gambar: Facebook/Malaysian Response Team)

Diterbitkan : 27 Mar 2017 11:25PM Dikemas Kini : 27 Mar 2017 11:31PM

CHERAS: "Nasi lemak pondan" yang diusahakannya dan kini menjadi popular tidak sekali-kali menghambatnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Oleh itu, sebanyak 100 bungkus "nasi lemak "pondan" akan diagih-agihkan ke masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur pada setiap hari Jumaat, dalam petikan laporan Malaysiakini.

Itu niat Jojie Kamaruddin, sebagai tanda syukur selepas "nasi lemak pondan" yang diusahakannya berhasil dan menular hanya dalam masa beberapa hari.

Bermula dengan mencuba nasib dan sekadar 'suka-suka', gerai nasi lemak pondan yang terletak di Jalan Sri Permaisuri, Cheras itu kini semakin mendapat sambutan.

Menurut laporan Malaysiakini, pemiliknya yang lebih senang dengan sapaan Jojie berkata, niat untuk bersedekah kepada masjid dibuat selepas dia berjaya memperolehi pendapatan mencecah RM2,000 (S$632) sehari hasil jualan nasi lemaknya.

"Jadi saya pasang niat untuk sedekahkan 100 bungkus setiap Jumaat di masjid sekitar Kuala Lumpur dan adik-adik saya akan bertanggungjawab untuk menghantar nasi lemak tersebut," katanya ketika ditemui Malaysiakini di gerainya baru-baru ini.

Jojie, yang juga merupakan seorang pereka fesyen dan perunding majlis perkahwinan berkata pada awalnya beliau sekadar mencuba berniaga nasi lemak selepas butik miliknya ditutup, namun tidak menyangka ia akhirnya membuahkan hasil.

Bagaimanapun Jojie berkata beliau sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cemuhan dan kritikan sempena nama nasi lemaknya yang unik.

"Apatah lagi selepas perniagaan saya ini mendapat publisiti, sudah tentu ada yang tidak puas hati. Bukan saya sahaja, sesiapa sahaja yang berniaga perlu bersedia dengan risiko itu,” kata Jojie yang kini meneruskan perniagaan butik secara dalam talian.

Buat masa ini Jojie menghidangkan nasi lemak biasa dengan menu asas seperti telur, ikan bilis, timun yang dijual pada harga RM1.80 (S$0.60) sebungkus.

Selain itu terdapat menu seperti sambal sotong, ayam masak merah, ayam masak kari, ayam masak rendang, sambal paru dan ayam goreng.

Kata Jojie, idea membuka gerai itu datang daripada ibunya sendiri yang sudah menjual nasi lemak selama lebih 36 tahun.

Menurutnya, ibunya membesarkan semua 17 adik beradiknya dengan hasil jualan nasi lemak selepas bapa mereka bersara awal akibat jatuh sakit.

Ketika ditanya mengenai lesen menjaja daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jojie berkata dia sedang dalam proses membuat permohonan, dalam petikan laporan Malaysiakini.

Sebelum ini, 'nasi lemak anak dara' antara yang menular di media sosial kerana namanya yang unik. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan