Images
  • razer
    Ketua Pengarah Eksekutif Razer Tan Min-Liang di acara pelancaran telefonnya. 

'Saya baru bermula': Kata CEO Razer Tan Min-Liang mengenai rancangan masa depan, buka cawangan di S'pura

SINGAPURA: "Saya baru bermula.” Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Razer, Tan Min-Liang, yang baru menghasilkan telefon bijaknya yang pertama.

Pengasas bersama syarikat peralatan permainan elektronik, yang berada di Singapura semasa pelancaran Razer Phone dengan kerjasama syarikat telko Singtel, memberitahu Mediacorp dalam wawancaranya hari ini (23 Nov) bahawa beliau belum lagi bersedia untuk menjual pelaburannya. Ini menyusuli kejayaan Razer mendapat sokongan memberangsangkan bagi tawaran awal awamnya.

"Saya masih rasa sihat, masih muda lagi... masih lagi bertenaga," kata Encik Tan, dengan suaranya yang serak tetap didengar dengan jelas meskipun latar belakang yang bising kerana pameran elektronik SITEX sedang berlangsung.

"Saya kini belih bertenaga untuk lakukan lebih banyak perkara ‘cool'."

Syarikat tersebut baru-baru ini tersenarai dalam Bursa Saham Hong Kong pada harga HK$3.88 (S$0.67) sesaham. Razer berjaya meraih HK$4.12 bilion (S$730 juta).

Antara "perkara cool" dalam perancangan beliau adalah untuk memperluaskan syarikatnya antarabangsa.

"Kami tidak meninjau Asia Tenggara sehingga 12 bulan lalu," dedah CEO tersebut, kerana pasaran di Amerika Syarikat dan Eropah "semakin berkembang" buat syarikatnya itu.

Meskipun begitu, ia berjaya mendapatkan rakan kongsi utama rantau ini, seperti Tencent dan pelancaran Arena of Valor, wadah pelbagai pemain secara online, dan Encik Tan turut mengatakan bahawa Razer "sudah tentu akan meneroka mencari rakan kongsi di China".

KEDAI RAZER S'PURA 'DALAM PERANCANGAN'

Memandang ke hadapan, beliau mengatakan bahawa Asia Tenggara akan menjadi tumpuan utamanya "buat beberapa tahun akan datang".

Ditanya apakah beliau maksudkan untuk membuka cawangan fizikal di Singapura, untuk menepati "permintaan yang meningkat" di rantau ini, Encik Tan mengatakan beliau ingin "memilih lokasi yang terbaik".

"Saya sudah mencari beberapa lokasi baik tetapi... hanya tunggu masanya kerana saya suka mengawal rekaan secara keseluruhan dan kejuruteraannya dan pengalaman yang menyeluruh," jelasnya itu. "Sehingga saya jumpa lokasi yang terbaik dan kakitangan yang terbaik, ia masih lagi dalam perancangan."

Beliau turut menekankan bahawa "banyak" pengendali pusat beli belah sudah berhubungan dengan Razer untuk menempatkan kedainya di Singapura.

"Dasarnya ialah mereka tahu Razer akan menjana trafik yang banyak... tetapi semua hanya tunggu masa,” tekan Encik Tan sekali lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai usulan syarikat tersebut kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk mengubah negara ini kepada masyarakat tanpa tunai.

Menurut rumusan eksekutif yang terpapar dalam laman Razer pada September, usulan tersebut mempunyai dua cabang.

Pertama, untuk memberikan maklum balas, pembangunan dan sokongan nasihat kepada rangka kerja e-bayar (SEF) atau yang serupa dengannya yang diuruskan MAS. Kedua, untuk menyokong huraian e-bayar - sama ada daripada sistem bayaran yang sedia ada ataupun sistem RazerPay.

Apabila ditanya perkembangan terbaru usulan tersebut, Encik Tan berkata: "Bukan sekarang. Kami sudah serahkan (usulan tersebut), dan kini kami dalam proses melancarkan pembayaran zGold, tetapi anda akan mendengar dari kami pada masa yang singkat."

zGold-MOLPoints adalah matawang maya yang dijual di lebih sejuta kedai online dan fizikal di negara-negara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam, Indonesia, Australia dan New Zealand.

LEBIH BANYAK TELEFON RAZER DALAM PERANCANGAN?

Ditanya bagaimana Razer ingin menggunakan hasil pendapatan yang diraih daripada IPO syarikat tersebut, Encik Tan berkongsi bahawa syarikatnya akan meneroka beberapa kategori baru dan akan membeli beberapa buah syarikat.

Beliau tidak ingin mendedahkan kategori yang diteroka syarikatnya itu, tetapi mengatakan pada asasnya, ia adalah untuk berkembang kepada "perkara yang diminati golongan pemain permainan elektronik dan golongan milenial".

Ia juga akan dijadikan garis pandu pembangunan bagi masa depan telefon Razer, termasuk ciri-cirinya. Namun Encik Tan tersebut tidak mendedahkan sama ada ia termasuk pelancaran setiap model telefon baru setiap tahun, seperti Apple dan Samsung.

Beliau juga tidak ingin mendedahkan jumlah Razer Phone yang sudah dikirimkan sejak pelancarannya pada 1 November lalu, tetapi tumpuan utama syarikatnya itu adalah untuk menghasilkan rentak bekalan yang lebih cepat berbanding permintaan.

Mengakhiri wawancara, Encik Tan menekankan bahawa beliau "akan bekerja lebih keras lagi" pada masa hadapan, dan ia amat membantu jika bekerja itu "amat menyeronokkan".

"Hidup ini singkat," kata Encik Tan. 

- CNA/FA/sm

Komen Anda?

Top