Images
  • Galaxy X
    Galaxy X. (Gambar: petikan dari YouTube)

Samsung tak sengaja ‘sahkan’ Galaxy X, telefon bijak boleh dilipat & diubah saiz

galaxy XBERITAMediacorp: Samsung secara tidak sengaja mengesahkan telefon pintar baru yang sedang diusahakan.

Bentuk telefon itu, yang desas-desusnya sudah kedengaran sejak beberapa bulan lalu, dijangka jauh berbeza daripada telefon-telefon lain di pasaran, lapor laman Independent.

Ia dijangka fleksibel, membolehkan para pengguna untuk melipat malah mengubah saiznya mengikut keperluan mereka.

Samsung secara tidak sengaja menerbitkan ruang sokongan bagi telefon Galaxy X di lamannya minggu ini, mengesahkan kewujudannya.

Ruang sokongan itu bagaimanapun sudah dipadamkan.


Meskipun ia tidak mendedahkan banyak mengenai telefon tersebut, hakikat bahawa Samsung menerbitkannya di laman mereka merupakan tanda bahawa syarikat tersebut sedang merancang untuk melancarkan Galaxy X tidak lama lagi, lapor Independent.

Ruang sokongan itu juga tertera kod SM-G888N0, yang bermakna Galaxy X hanya akan dilancarkan di Korea Selatan sahaja, menurut Forbes.

Ini adalah satu langkah yang logik memandangkan Samsung baru sahaja melancarkan dua telefon bijak baru – Galaxy S8 dan Galaxy Note 8 dan enggan menanggung risiko menjejas penjualannya dengan melancarkan Galaxy X yang masih di peringkat percubaan.

Samsung diketahui sedang mengusahakan telefon bijak yang boleh dilipat sejak beberapa tahun lalu dan sudahpun mengeluarkan beberapa video mengenai konsep tersebut, menurut Independent.

Bagaimana bentuk dan rupa Galaxy X masih belum jelas namun ia berkemungkinan boleh diubah saiz menjadi sebesar tablet atau dikecilkan kepada saiz telefon yang kecil.

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top