Images
  • Samsung Note 8
    Samsung Galaxy Note 8. (Gambar: REUTERS)

Samsung Galaxy Note 8 dijual di S'pura mulai pertengahan September

SINGAPURA: Samsung mendedahkan telefon bijak terbaru Galaxy Note 8, yang boleh dibeli mulai pertengahan bulan September.

Sebelum ini, Galaxy Note 7, salah satu model dalam siri telefon bijak Note dibelenggu isu-isu berkaitan bateri malah ada sebahagian telefon yang dilaporkan terbakar, memaksa Samsung mengambil langkah menarik balik model tersebut secara global.

Menyusuli insiden itu, UL International, iaitu sebuah syarikat global bebas dalam sains keselamatan memberi jaminan kepada para pengguna bahawa bateri Note 8 selamat untuk digunakan.

Menurut syarikat tersebut alat itu sudah melalui pemeriksaan keselamatan bateri sebanyak lapan kali dan ini disifatkan sebagai “paling teliti dalam industri tersebut”.

“Kami sudah bekerjasama dengan Samsung, mewujudkan pemeriksaan canggih dalam sains penilaian mutu dan keselamatan telefon bijak. Hasilnya, Galaxy Note 8 berjaya melalui beberapa ujian protokol yang begitu teliti bagi memastikan alat dan bateri itu sesuai digunakan,” menurut Presiden UL International Sajeeve Jesudas.

Para penggemar telefon bijak siri Note boleh menjangkakan skrin telefon yang lebih besar dan keupayaan kamera yang sudah dipertingkat.

Saiz bagi telefon bijak Note 8 juga lebih besar berbanding Note 7, dengan skrin HD infiniti sebesar 6.3 inci berbanding skrin 5.7 inci pada Note 7.

Note 8 juga dilengkapi dua kamera 12 megapixel, dengan keupayaan ‘Optical Image Stabilisation’ pada kedua-dua lensa ‘wide-angle’ dan ‘telephoto’.

Note 8 juga mewarkan ruang memori (RAM) sebesar 6GB, berbanding 4GB pada telefon-telefon Note sebelum ini.

Para pengguna boleh melakukan dua perkara pada satu-satu masa menerusi ciri baru App Pair. Ia membolehkan para pengguna memadankan dua aplikasi yang sesuai bagi kegunaan mereka pada panel Edge dan melancarkan kedua-duanya serentak dengan mudah.

Sejauh ini belum ada maklumat lebih terperinci mengenai tempahan awal, namun menurut Samsung, Note 8 ditawarkan dalam empat warna: Hitam (Midnight Black), Kelabu (Orchid Grey), Emas (Maple Gold) dan Biru (Deepsea Blue).

- TODAY/NK/nk

Komen Anda?

Top