Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Restoran Nasi Ambeng Hajjah Mariam Cafe diperluas bagi penuhi permintaan pelanggan

Restoran Nasi Ambeng popular, Hajjah Mariam Café, yang bertempat di pusat beli-belah Westgate di Jurong East, mendedahkan bahawa ruang kedainya sedang dalam proses diluaskan.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran Nasi Ambeng Hajjah Mariam Cafe diperluas bagi penuhi permintaan pelanggan

Restoran Nasi Ambeng Hajjah Mariam Cafe. (Gambar-gambar: Hajjah Mariam Cafe/Facebook)

SINGAPURA: Berita baik buat para penggemar Nasi Ambeng yang menetap di daerah barat!

Restoran Nasi Ambeng popular, Hajjah Mariam Café, yang bertempat di pusat beli-belah Westgate di Jurong East, mendedahkan bahawa ruang kedainya sedang dalam proses diluaskan, sekaligus mampu memuatkan lebih ramai pelanggan untuk duduk makan.

Ini setelah ia mengambil langkah menambah ruang restoran dengan mengambil alih sebuah unit kedai bersebelahan dengan restoran sekarang.

Salah seorang pemiliknya, Cik Adhana Kamis, memberitahu BERITAMediacorp sejak menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) tiga tahun lalu, pihaknya mendapat respons yang begitu menggalakkan baik dari dalam mahupun dari luar negara.

Pemilik Hajjah Mariam Cafe. Dari kiri: Azidah Kamis, Hajjah Siti Mariam Raub dan Adhana Kamis.

PELANGGAN SERING MENGADU TIADA TEMPAT DUDUK

“Kami dapat respons daripada para pelanggan, ada yang memberi maklum balas menerusi laman Facebook kami. Mereka mengadu tiada tempat untuk makan, selalu hanya beli bungkus dan makan di tempat lain, terpaksa beratur panjang.

“Maka kami memutuskan untuk cuba dapatkan tempat supaya lebih ramai boleh datang dan makan. Selain itu (dengan peluasan itu) mereka boleh menempah tempat duduk lebih awal. Sebelum ini kami terpaksa menolak banyak permintaan untuk buat tempahan awal,” kata Cik Adhana kepada BERITAMediacorp.

Peluang terbuka apabila Cik Adhana dan keluarga mendapat tahu kedai yang terletak bersebelahan restoran mereka sudah dikembalikan kepada CapitaLand, iaitu pemilik bangunan Westgate.

Dengan pembukaan sebuah lagi unit itu, Hajjah Mariam Cafe boleh menerima hampir seganda jumlah pelanggan pada satu-satu masa.

"Sebelum ini tempat kami agak sempit, kami meletakkan meja-meja kecil dan kerusi-kerusi tambahan, boleh muatkan sekitar 40 orang pada satu-satu masa. Selepas ini kami menjangkakan dapat tambah lagi 35 pelanggan dengan adanya unit baru nanti," Cik Adhana mendedahkan kepada BERITAMediacorp.

ADA TEMPAT SOLAT UNTUK PELANGGAN

Yang menariknya, unit baru itu dilengkapi sebuah sudut solat yang boleh digunakan oleh para pelanggan, kata Cik Adhana, sambil menambah keluasan restorannya kini sekitar 1,000 kaki persegi.

"Sebenarnya bukan mudah untuk kami membuat keputusan mengambil sebuah lagi unit. Kami perlu memikirkan bermacam-macam perkara termasuk kadar sewa. Lebih-lebih lagi lokasi pusat beli-belah ini bersebelahan dengan stesen MRT, maka sewanya agak tinggi," kata beliau yang melaburkan wang sekitar 6 angka untuk membuka sebuah lagi unit.

"Kami berharap dengan peluasan ini, kami dapat memenuhi permintaan ramai pelanggan. Insya Allah, dapat rezeki yang murah jadi semua orang gembira," tambah beliau yang menjangkakan kenaikan hasil jualan akan meningkat kira-kira 20 peratus.

Buat masa ini unit tambahan Hajjah Mariam Cafe sedang menjalani kerja-kerja ubah elok dan dijadual siap pada hujung bulan ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan