Images
  • Muna Jama
    Muna Jama diberi kebenaran sertai Ratu Universe tanpa perlu memakai bikini. (Gambar: YouTube/Living Increases)

Ratu cantik Muslim dapat kebenaran sertai Ratu Universe Great Britain tanpa pakai bikini

BRITAIN: Seorang wanita Muslim berhasil mendapat kebenaran untuk tidak memakai pakaian renang atau bikini bagi acara Ratu Universe Great Britain.

Sebaliknya beliau diberi kebenaran untuk memakai kaftan.

Muna Jama, 27 tahun, yang berasal dari Forest Gate, akan memakai kaftan dalam pertandingan Ratu Universe Great Britain setelah meminta pihak penganjur membenarkan beliau untuk menutup tubuhkan.

Kerja-kerja sukarela yang dilakukan Muna pada awalnya memberikan beliau inspirasi untuk menyertai pertandingan itu, yang merupakan pusingan kelayakan Britain bagi peraduan Ratu Universe peringkat dunia, lapor laman Metro.

Namun, setelah menerima surat yang mengundang Muna untuk mengambil bahagian, beliau tiba-tiba berasa bimbang.

Acara Ratu Universe, yang pernah satu ketika dahulu dimiliki dan dikendalikan oleh Encik Donald Trump, yang kini Presiden Amerika Syarikat, merangkumi cabaran-cabaran yang pelbagai dari pusingan pakaian kebangsaan hingga pakaian renang, di mana para peserta akan memperagakan pakaian renang di atas pentas dan panel hakim akan memutuskan yang terbaik.

Membayangkan dirinya di depan khalayak dengan hanya memakai bikini, yang beliau tahu adalah pusingan penting acara peragaan itu, Muna dibelenggu rasa tidak selesa, lapor Metro.

Beliau membuat keputusan untuk menarik diri dari pertandingan tersebut namun, setelah berjaya menumpaskan pesaing-pesaingnya di peringkat akhir, Muna kemudian memutuskan untuk membuat permohonan sekali lagi dan memulakan kempen bagi haknya untuk memakai kaftan dan bukan bikini.

Menurut Muna: "Saya tidak akan memakai bikini ke pantai, maka saya tidak akan memakainya dalam pertandingan semata-mata untuk mendapatkan markah."

Muna, yang juga pengasas bersama Cloudless Research, firma yang baru ditubuhkan yang menangani isu pendatang haram dan penderaan kanak-kanak di Afrika timur, berharap wadah berprofil tinggi itu akan membuka peluang untuk beliau meningkatkan kesedaran ramai kepada isu-isu yang dekat di hati beliau - khususnya kesengsaraan kanak-kanak yang terhimpit dalam krisis pendatang.

Penyertaan beliau dalam pertandingan Ratu Universe Great Britain, memberikan dirinya wadah untuk berkongsi apa yang sudah dipelajarinya dengan lebih ramai orang, lapor Metro.

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top