Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Persandingan unik: Pasangan pengantin sado letak 'gelanggang' gusti lengan depan pelamin

Nur Hidayu Nor Rongzi, 25 tahun, pernah menjadi bualan di Kuala Kangsar kerana menyertai pertandingan gusti lengan.Bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara juga.

Anggaran Waktu Membaca:
Persandingan unik: Pasangan pengantin sado letak 'gelanggang' gusti lengan depan pelamin

Nur Hidayu Nor Rongzi bersama suaminya di pelamin yang ada 'gelanggang' gusti lengan. (Gambar: Facebook/Zarina Razak).

Diterbitkan : 07 Nov 2017 12:05AM Dikemas Kini : 07 Nov 2017 12:30AM

SENGGANG: Nur Hidayu Nor Rongzi, 25 tahun, pernah menjadi bualan di Kuala Kangsar kerana menyertai pertandingan gusti lengan.Bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara juga.

Di sebalik wajahnya yang ayu, ramai tidak menyangka graduan Ijazah Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebenarnya seorang atlit gusti lengan atau 'arm wrestling', lapor Sinar Online.

Lebih manis, cintanya kepada sukan itu juga mempertemukannya dengan pasangan hidupnya, Muhammad Farez Bahari, 26 tahun, ketika menyertai pertandingan di Shah Alam pada 2014.

Dek kerana minat yang sama, pasangan pengantin ini mencetuskan kelainan pada majlis perkahwinan mereka baru-baru ini dengan membawa meja gusti lengan serta meletakkannya betul-betul di hadapan pelamin.

Pasangan ini 'beraksi' di pelamin. (Gambar: Facebook/ Nur Hidayu U) 

RAMAI TERKEJUT TAPI INGIN CUBA

Dalam laporan Sinar Online, Encik Farez berkata, ramai tetamu terkejut melihat meja gusti lengan di depan pelamin kerana perkara sebegitu sangat asing buat mereka.

“Ramai terkejut tapi ramai juga mahu cuba. Kami biar saja, dari atas pelamin kami lihat saja gelagat mereka. Memang betul-betul meriah, ramai berkumpul depan pelamin.

“Sejujurnya kami tak sangka ia diterima baik. Kami sangka mungkin sikit saja mencuba tapi lain jadinya. Boleh dikatakan tetamu yang nampak, mesti mahu cuba, seronok betul.

“Kiranya hasrat kami yang mahu mempromosikan sukan ini menjadi. Dengarnya ramai juga orang bercerita mengatakan ada pertandingan gusti lengan dalam majlis kami,” katanya.

PENGANTIN PEREMPUAN INGIN LEBIH BANYAK WANITA CEBUR GUSTI LENGAN

Encik Farez menambah, idea tersebut adalah ilham isterinya yang berniat mahu memperkenalkan sukan tersebut kepada penduduk Kampung Senggang khususnya dan Kuala Kangsar umumnya.

“Isteri saya memang bersungguh-sungguh mahu promosikan sukan ini sebab dia nak lebih ramai wanita ceburi gusti lengan yang sememangnya sinonim dengan lelaki sejak dulu.

(Gambar: Facebook/Azlina Sabtu) 

Cik Nur Hidayu (tengah) bergambar dengan pesaing lain dalam satu pertandingan. (Gambar: Facebook/Azlina Sabtu)

“Lama juga dia rancang perkara ini. Saya beri sokongan penuh sebab kami sama-sama minat sukan ini, malah ia juga boleh dikatakan simbolik kisah cinta kami,” ujarnya.

Bagi Nur Hidayu, sejak dua tahun lalu dia cuba mempromosikan sukan itu kepada wanita dan setakat ini ia mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, demikian menurut laporan Sinar Online.

RAMAI TIDAK PERCAYA WANITA BERHIJAB MAMPU BERGUSTI LENGAN

“Kalau di luar negara, tak pelik pun bila wanita bergusti lengan tapi di Malaysia sedikit berbeza. Jadi lagi pelik bila saya bertudung, ramai pula yang tak percaya wanita bertudung boleh bergusti lengan.

“Bagi saya, tiada masalah pun malah secara tak langsung memperkenalkan Malaysia dalam sukan ini. Bila sertai pertandingan di luar negara, ramai bertanya saya dari mana.

“Dengan bangga saya beritahu mereka saya datang dari Malaysia. Mereka nampak kagum sebab tubuh kecil tapi boleh sampai ke peringkat antarabangsa,” katanya dalma laporan tersebut.

Dia gembira kerana suami dan keluarga bersetuju dengan cadangannya menganjurkan perlawanan gusti lengan santai di hari perkahwinannya.

PASANGAN INGIN TERUS BERGUSTI LENGAN

“Gusti lengan memang dekat di hati saya. Sejak dulu, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk sukan ini, pergi banyak tempat, sertai pelbagai pertandingan," kata sang isteri.

Cik Nur Hidayu menambah beliau memang gembira kerana mereka suami isteri mempunyai minat yang sama.

Jadi mereka boleh berlatih bersama-sama dan sama-sama juga menyertai pertandingan.

“Selepas kahwin, mungkin berehat sebentar tapi kami akan teruskan bergusti lengan. Dua-dua tidak akan berhenti, kami sasar pencapaian lebih cemerlang selepas ini,” kata ahli gusti berpangkat ijazah itu. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan