Images
  • piring three
    Salah satu daripada piring hitam ketika sedang dalam proses dibersihkan. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Pernah dengar lagu Melayu berusia hampir 115 tahun? Dari tahun 1903? Ini dia...

SINGAPURA: Anda kini boleh menikmati irama lagu-lagu lama daripada ‘vinyl’ atau piring hitam menerusi inisiatif baru 'Lagu Masa Lampau,' atau 'Sounds of Yesteryear', Arkib Negara Singapura.

Projek itu melibatkan usaha mendigitalkan lagu-lagu yang dirakam di Singapura antara tahun 1903 hingga1941.

Setakat ini terdapat 3,500 koleksi rakaman piring hitam yang disimpan di Arkib Negara Singapura (NAS).

LAGU DARI NANDOENG SAYANG: DIPERCAYAI RAKAMAN MELAYU PIRING HITAM PERTAMA S'PURA

Salah satu daripada koleksi rakaman Melayu pertama piring hitam ialah 'Lagu Dari Nandoeng Sayang' yang dirakamkan hampir 115 tahun dulu. Rakaman tersebut dipercayai didendangkan oleh seorang penyanyi yang dikenali hanya sebagai Ismail asal Pulau Pinang.

Lagu itu, antara 52 rakaman piring hitam lain yang melalui proses pendigitalan, dan kini boleh didengar secara online.

Rakaman piring hitam ini dibuat oleh perintis rakaman secara komersial Amerika, Encik Fred Gaisberg, ketika ekspedisinya ke Asia pada tahun 1902 hingga 1904.


(Rakaman lagu-lagu piring hitam kini boleh didengar secara online di laman sawang Arkib Negara Singapura)

"Sebenarnya koleksi yang telah kita kumpulkan di bawah projek Sounds of yesteryears merupakan sebahagian daripada koleksi yang lebih besar yang menggambarkan industri rakaman di Singapura, pada tahun 1903, 1904 dan ia menggambarkan Singapura sebagai pusat tarikan rakaman muzik pada hari itu.

"Ia menarik ramai penyanyi-penyanyi rantau ini terutama dari Malaya, Indonesia, pada masa itu dikenali sebagai Hindia Barat," menurut Encik Mohamed bin Salim, Pustakawan Kanan Arkib Audio Visual (NAS).

Selain memastikan rakaman yang jarang ditemui dapat dipelihara menerusi pendigitalisan, irama muzik zaman lampau ini juga diharap dapat dikongsi bersama generasi akan datang.

"Rakaman-rakaman yang telah kita kumpulkan ini yang segelintir sahaja yang bertahan sehingga hari ini, dan kebanyakan daripada rakaman-rakaman ini ialah merupakan rakaman yang kita panggil 'test pressing' yang tidak dapat didengar oleh orang lain kerana beberapa sebab, misalnya dengan tercetusnya perang dunia kedua misalnya.

"Jadi apa yang telah kita kumpulkan dan telah didigitalkan, memberi peluang kepada pengguna untuk mendengar rakaman-rakaman yang sedemikian yang selama ini tak dapat didengar atau tak dapat dikeluarkan," tambah Encik Mohamed.

LAGU KEBUASAN HITLER TURUT DIMUATKAN DALAM BENTUK DIGITAL

Antara contoh menarik ialah lagu propaganda tahun 1941 bertajuk Kebuasan Hitler, oleh penyanyi opera Melayu terkenal ketika itu bernama Miss Fadillah (nama sebenar Fedela Tagarino).

Lagu itu dikatakan dibuat untuk memberikan bayangan bahawa Hitler bersama dengan Mussolini adalah musuh kepada masyarakat Islam dan seorang yang dibenci oleh masyarakat Islam pada waktu itu.

Berbandingkan dengan rakaman yang dibuat sebelum 1930-an, proses pendigitalan bagi lagu Kebuasan Hitler dikatakan lebih mudah. 


PENJAGAAN YANG RUMIT DAN PANJANG

Sememangnya, antara cabaran projek ini ialah proses penjagaan dan pembersihannya yang rumit dan memerlukan masa yang panjang.

"Kebanyakannya piring hitam yang sudah selalu digunakan, jadi keadaanya agak rosak, banyak rosak, banyak lusuh, banyak calar-calar, banyak apa yang kita namakan sebagai noise, jadi kita perlu mengambil masa yang agak lama.

"Kita perlu membersihkan piring hitam itu secara dengan teliti dan kadang kala kita terpaksa mengulangi proses-proses ini untuk memastikan kita mendapat kualiti bunyi yang sebaik mungkin, yang baik untuk dapat didengarkan oleh masyarakat pengguna," Encik Mohamed memberitahu BERITAMediacorp.


ARKIB NEGARA HARAP ORANG RAMAI DAPAT SUMBANG MAKLUMAT, PIRING HITAM LAMA

Pasukan di Arkib Negara Singapura, berharap lebih ramai orang akan tampil menyumbang piring hitam milik mereka agar rakaman lagu-lagu lama di sini tidak hilang ditelan zaman.

"Kami harap mereka dapat berkongsi rekod-rekod tersebut dengan kita supaya kita sama-sama dapat mengkayakan koleksi muzik yang dibuat di Singapura, dan kalau ada yang mempunyai informasi ataupun perincian mengenai koleksi-koleksi yang telah ada dalam simpanan kami, mungkin mereka juga boleh berkongsi perincian dan informasi tersebut.

"Ini adalah supaya kita dapat gunakan informasi tersebut untuk mempermudahkan lagi para pengguna koleksi kami dengan informasi-informasi yang boleh kita tambah dengan apa yang telah kita ada," kata Encik Mohamed. 

Komen Anda?

Top