Images
  • calvin thoo
    Pereka fesyen terkemuka Calvin Thoo (kiri). (Gambar: Facebook/ Calvin Thoo)

Pereka terkenal Calvin Thoo ketengahkan Koleksi Raya 2017

KUALA LUMPUR: Rekaan istimewa dengan rona terang bagi menampilkan suasana ceria mewarnai Koleksi Raya 2017 pereka fesyen terkemuka Calvin Thoo.

Penampilan warna seperti merah jambu, kuning, jingga, biru dan ungu itu juga bersempena dengan 13 tahun pembabitannya dalam industri fesyen menerusi penghasilan busana di bawah jenama 'Calvin Thoo'.

"Saya sengaja gunakan koleksi yang sangat berwarna-warni kerana rona melambangkang kehidupan," katanya kepada Bernama.

Menerusi koleksi itu, Calvin mengetengahkan kira-kira 60 rekaan busana seperti baju kurung moden, kaftan dan gaun malam selain sebahagian daripada koleksi itu dilengkapi dengan hijab.

Sebahagian daripada rekaannya itu ditampilkan pada pertunjukan fesyen pada Pameran Gaya Hidup Islam Antarabangsa Malaysia (MILE) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang bermula semalam (5 Apr) sehingga Sabtu.

Calvin, yang sudah 23 tahun berkecimpung dalam dunia fesyen, mengetengahkan rekaan yang patuh syariah dan mudah digayakan wanita sempena lebaran.

"Saya nak tunjukkan bahawa Islam itu mudah dan kita boleh bergaya dengan pelbagai rekaan serta pakaian sedia dipakai...tidak semestinya, jika berunsur Islam, orang akan fikir hanya jubah hitam dan putih.

"Saya rasa itu adalah satu persepsi salah mengenai fesyen Islam," katanya yang terlibat dengan fesyen Islam sejak lebih 10 tahun lepas.

Selain itu, beliau turut menawarkan koleksi pilihan busana Hari Raya untuk pelanggan bukan Islam.

"Koleksinya pelbagai...untuk tonjolkan Calvin Thoo, jenamanya," kata pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur itu.

Orang ramai boleh mula membeli busana itu pada harga berpatutan di butiknya. 

- BERNAMA/ru

Komen Anda?

Top