Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Perabot untuk si kucing semakin menarik, kreatif

Gimnasium dan perabot khas buat kucing peliharaan yang dijual di pasaran kini semakin terdorong dengan reka bentuk yang bukan saja kelihatan menarik bagi haiwan itu tetapi ia juga menjadi kebanggaan pemilik haiwan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gimnasium dan perabot khas buat kucing peliharaan yang dijual di pasaran kini semakin terdorong dengan reka bentuk yang bukan saja kelihatan menarik bagi haiwan itu tetapi ia juga menjadi kebanggaan pemilik haiwan tersebut.

Bagi anda yang memelihara kucing, perabot kucing yang ditampilkan dalam Pameran '9 Lives' pasti membawa keindahan estetik ke paras yang lebih tinggi.

Perabot kucing yang ditampilkan di pameran itu diberi nafas segar hasil sentuhan kreatif sembilan pereka tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang seperti perindustrian, hiasan dalaman serta seni bina.

ILHAM PERABOT KUCING DARIPADA MERCU TANDA S'PURA

Bagi para pereka tempatan yang terlibat dalam pameran itu, mereka mendapat ilham untuk menghasilkan perabot sedemikian daripada struktur-struktur seperti taman permainan kanak-kanak di estet-estet kejiranan HDB dan beberapa bangunan yang menjadi mercu tanda di Singapura.

Reka bentuk perabot yang dihasilkan turut menyelitkan ciri-ciri menarik yang mungkin menjadi "idaman" setiap kucing peliharaan.

Ia juga diilhamkan atas kesedaran tentang kurangnya perabot kucing bermutu tinggi dan selamat yang dijual di pasaran buat masa ini.

Menurut Encik Andrew Loh, seorang pereka perindustrian yang menyumbang rekaannya kepada pameran itu, "Zaman ini, lebih ramai yang memelihara kucing di rumah. Terdapat kekurangan dalam perabot kucing yang berfungsi dan kelihatan cantik. Kami bertujuan untuk mempamerkan reka bentuk yang bagus dan juga reka bentuk yang berkualiti."

ORAK LANGKAH TEMBUSI PASARAN SECARA BESAR-BESARAN

Lebih penting lagi, perabot-perabot yang diperbuat daripada bahan-bahan tanpa toksik ini bukan sekadar mesra kucing, malah menambah nilai kepada estetik keseluruhan rumah pemilik kucing peliharaan.

Demi memenuhi permintaan pelanggan yang dijangka positif kelak, sesetengah pereka sudahpun melangkah ke proses memasarkan secara besar-besaran perabot mereka.

Antaranya ialah pereka hiasan dalaman, Dafit Ashari: "Saya yakin produk ini boleh diterima masyarakat kerana pada masa depan, masyarakat akan memiliki tempat tinggal yang semakin kecil. Jadi mereka akan memerlukan semuanya yang kecil dan bagi mereka yang akan memelihara kucing, kucingnya harus diberi kelengkapan. Jadi ini merupakan sesuatu barang yang akan diperlukan masyarakat."

PUPUK SIKAP BERTANGGUNGJAWAB

Dianjurkan buat julung-julung kalinya di Singapura, ilham untuk menganjurkan pameran seumpama itu adalah cetusan idea Tan Chin Chin, seorang usahawan yang juga pengasas GOOOD Pets Collars.

Pameran ini juga bermatlamat untuk memupuk sifat bertanggungjawab di kalangan orang ramai yang membela haiwan peliharaan.

Pameran 9 Lives yang berlangsung dari 4 hingga 6 Mac ini adalah sebahagian daripada Minggu Reka Bentuk Singapura.

Pameran yang diadakan di Pusat Seni Visual ini dijadual berakhir esok (6 Mac).

Dan bagi anda yang belum berkempatan untuk mengunjungi pameran ini, empat reka bentuk akan dipamerkan di The Company Of Cats di 6B Mosque Street, manakala lagi empat di Neko No Niwa yang terletak di 54A Boat Quay sehingga hujung bulan ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan