Images
  • main photo
    Pelukis tersohor pertama nusantara Raden Saleh. (Gambar: Galeri Nasional Singapura)

Peluang tatap 48 lukisan Raden Saleh mulai 16 Nov - pelukis tersohor disanjung Raja Belanda & Perancis

SINGAPURA: Raden Saleh ialah salah seorang pelukis paling terkenal di dunia yang pernah dihasilkan oleh dunia Melayu.

Buat julung-julung kalinya di Singapura,anda mempunyai peluang keemasan untuk menyaksikan sebanyak 48 lukisan karya Raden Saleh - bermula Khamis ini.


(Salah satu daripada lukisan Raden Saleh yang pertama kali membuat kemunculan di dunia ini menggambarkan kehidupan masyarakat Jawa. Gambar-gambar: Galeri Nasional Singapura)

RADEN SALEH MERUPAKAN PELUKIS PERTAMA TERSOHOR DI NUSANTARA

Jika dunia Barat mempunyai Rembrant atau Picasso, dunia Melayu mempunyai pelukis seperti Raden Saleh.

Digelar "Pelukis Diraja", Raden Saleh atau nama penuhnya Raden Saleh Sjarif Boestaman, diakui sebagai pelukis pertama tersohor di Nusantara ini.

Dilahirkan di Jawa pada 1811, beliau merupakan artis Indonesia pertama yang mendapat asuhan melukis di Eropah.

Lukisannya bukan sahaja diminati oleh golongan kelas atas Eropah, malah turut 'memikat hati' kerabat diraja.

"Bagi saya kepentingan pameran ini ialah di mana khalayak ramai dapat melihat kehidupan dan pengalaman Raden Saleh seorang jawa boleh dikatakan terserlah kerjayanya sebagai seorang seniman atau pelukis bukan sahaja di tanah Jawa tetapi di Eropah. Di mana dia juga telah mendapat beberapa penghargaan bukan dari calang-calang orang, tapi dari Raja Belanda, Raja Perancis, " kata Syed Muhammad Hafiz Syed Nasir, Kurator bagi pameran tersebut.

Beliau menambah, dari segi kemahiran atau teknik, Raden Saleh bukan hanya bukan hanya terkenal dari arena lukisan atau seni rupa tetapi juga dari promosikan dirinya sendiri sebagai seorang dari Nusantara atau dari Asia Tenggara.

2 LUKISAN PERTAMA RADEN SALEH BUAT PENAMPILAN PERTAMA DI DUNIA

(Satu di antara dua lukisan Raden Saleh yang menggambarkan masyarakat Jawa ini dibawa dari Muzium Seni Amerika)

Mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan pameran ini, ia menampilkan sebanyak 57 karya lukisan, sketsa dan bahan arkib hasil Raden Saleh.

Ia dikumpul dan dipinjamkan daripada Perancis, Amerika, Latvia, Belanda, Jerman dan Indonesia.

Malah, dua daripada lukisannya yang menampilkan kehidupan masyarakat Jawa, akan membuat penampilan pertama di dunia.

PELUKIS JUAN LUNA KONGSI 'SEJARAH UNIK' RADEN SALEH


(Pameran Juan Luna yang pertama kali dianjurkan di Singapura ini menampilkan 47 hasil lukisannya)

Diberikan nama "Dua Dunia: Raden Saleh dan Juan Luna" pameran tersebut turut menampilkan seniman Juan Luna asal dari Filipina, yang juga menerima latihan melukis di Eropah.

Pasukan kurator ini berharap pameran ini dapat dihargai oleh masyarakat Melayu kerana menampilkan sejarah penting pelukis nusantara.

"Contohnya dalam salah satu arkib di mana karakter Luna dikatakan agak buas, atau ganas seperti seorang Melayu, jadi kita dapat lihat persepsi orang Eropah tentang pemahaman orang Filipina dari dunia Melayu, tapi juga yang paling penting ialah persepsi kebuasan bangsa Melayu itu, stigma itu sangat terserlah pada waktu itu," ulas Syed Hafiz lagi.

Itu merupakan persepsi Orientalis atau yang diberikan pihak Barat terhadap orang Timur dan dalam contoh ini, orang Melayu.

Beliau menjelaskan, kedua-dua pelukis itu dalam beberapa segi, sebenarnya cuba untuk melawan balik mitos pribumi malas, atau kebuasan bangsa Melayu dengan kehadiran dan karya mereka.

Tiket masuk bagi pameran ini berharga $15. 

- BERITAMediacorp/ur

Komen Anda?

Top