Images
  • travel generic
    (Gambar hiasan: JAIME REINA / AFP)

Pelancongan milenial Muslim cecah AS$100 bilion jelang 2025

BERITAMediacorp: Pasaran pelancongan milenial Muslim, dianggarkan mencecah AS$100 bilion (S$136 bilion) menjelang 2025.

Pengaruh teknologi dan keinginan untuk meneroka dunia adalah faktor, segmen itu paling pesat berkembang dalam pasaran pelancongan Muslim yang dianggarkan mencapai AS$300 bilion (S$408 bilion) menjelang 2026.

Demikian menurut satu laporan percutian Mastercard-HalalTrip Muslim Millennial.

Singapura, merupakan antara 10 negara pilihan utama golongan milenial kerana kemudahan yang disediakan termasuk makanan halal dan tahap keselamatan yang tinggi.

Sebilangan besar mereka juga keluar mengembara antara dua hingga lima kali setahun dengan setiap kunjungan bagi tempoh empat hingga enam hari.

Menurut kajian yang dijalankan dengan kerjasama Mastercard, HalalTrip dan Universiti Murdoch itu, perkara yang diutamakan adalah penginapan, makanan dan kemudahan membeli belah.

Secara purata mereka membelanjakan antara AS$101 hingga AS$500 (S$137 - S$680).

Menurut laporan CrescentRating, ia menganggarkan lebih 30 peratus pelancong Muslim pada 2016 terdiri daripada golongan milenial dan lagi 30 peratus daripada Gen Z.

Dengan 121 juta pengunjung Muslim antarabangsa pada 2016, lebih 72 juta pengunjung Muslim adalah dari golongan milenial atau Gen Z.

"Mereka mencari pengalaman-pengalaman unik, mereka mencari pengalaman-pengalaman yang mencabar diri mereka. Dan mereka juga saya rasa mencari pengalaman-pengalaman yang "authentic". Mereka tidak hanya pergi ke sesuatu tempat itu untuk jalan-jalan atau melihat tempat-tempat sahaja tetapi mereka mahu mendapatkan pengalaman yang peribadi," kata Cik Atikah Amalina, Naib Presiden The Codette Project.

Bahkan dengan luasnya penggunaaan sosial media, mereka menjadi pengaruh utama pelanggan ke destinasi-destinasi pelancongan.

"Penggunaan teknologi sangat kerap sebelum mereka berlayar ketika mereka membuat kajian tentang destinasi sesebuah negara. Selepas mereka pulang daripada bercuti mereka akan sarankan, beri cadangan kepada kawan-kawan mereka atau keluarga," menurut Cik Raudha Zaini, pengurus pemasaran HalalTrip.

Kajian itu memberi tumpuan kepada golongan milenial berusia 18 hingga 36 tahun dari lima benua termasuk Afrika, negara-negara Amerika, Asia, Eropah dan Timur Tengah.
 

- BERITAMediacorp/fa

Komen Anda?

Top