Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pelancong S'pura tetap berhasrat ke Eropah, Timur Tengah meskipun keganasan berleluasa

BERITAMediacorp meninjau trend masyarakat Melayu melancong ke negara-negara yang dilanda keganasan dan apakah langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi memastikan percutian mereka meninggalkan memori indah dan bukan sebaliknya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Insiden-insiden keganasan yang semakin kerap berlaku di beberapa negara di merata dunia, menyebabkan kawalan keselamatan diperketat.

Ini lebih-lebih lagi di Eropah dan Timur Tengah. Sungguhpun demikian, ini tidak menghambat keinginan rakyat Singapura untuk melancong ke sana.

Dengan cuti sekolah hujung tahun bakal menjelang tidak lama lagi, mungkin ada yang sudah merancang untuk bercuti bersama keluarga ke negara-negara tersebut.

Sehubungan itu, BERITAMediacorp meninjau trend masyarakat Melayu melancong ke negara-negara yang dilanda keganasan dan apakah langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi memastikan percutian mereka meninggalkan memori indah dan bukan sebaliknya.

NEGARA-NEGARA DILANDA KEGANASAN TETAP MENJADI PILIHAN

Menurut Jabatan Statistik Singapura (SingStat), sejak tahun 2013 jumlah rakyat Singapura yang melancong pada bulan Disember semakin meningkat dengan lebih 1,180,000 pelancong dicatat bercuti di luar negara pada bulan Disember tahun lalu.

Dua agensi pelancongan yang diwawancara BERITAMediacorp, iaitu Hamidah Travel and Tours dan Chan’s World Holiday, mendedahkan bahawa meskipun keganasan berlaku di beberapa negara, seperti Turki dan Perancis, rakyat Singapura tetap ingin bercuti di sana.

(Gambar hiasan: JAIME REINA / AFP)

Menyedari tentang keganasan yang berlaku di destinasi yang ingin dikunjungi, sesetengah pelanggan mengambil langkah menghubungi ejen pelancongan mereka bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di negara yang terjejas.

“Buat masa ini, bagi mereka yang telah membuat tempahan pakej untuk ke Eropah… sejauh ini tidak ada pembatalan daripada peserta. Buat yang masih sedang memilih, mereka cuba telefon kami untuk mendapatkan penerangan bagaimana keadaan di sana,” kata Encik Badruzzaman Hj Abdul Majid, Pengarah Hamidah Travel and Tours.

Bagi yang sudah memilih destinasi dan menetapkan tarikh untuk melancong, mereka memilih untuk meyakini bahawa pihak ejen akan menghubungi mereka bagi memaklumkan tentang keadaan terkini dan membuat keputusan jelas sama ada mahu membatalkan atau meneruskan rancangan mereka.

"Kami tetap memilih Turki sebab kami teringin benar nak pergi ke sana. Kami tahu mengikut wisata melalui Chan’s World selamat insya-Allah," kata Cik Shabarina Sulaiman, 37 tahun, pelanggan Chan's World Holiday.

“Mereka tetap ingin pergi ke Turki kerana mereka percaya akan kami. Jika kami mendapat segala matlumat bahawa tempat tersebut tidak selamat dari pihak atasan atau dari pemerintah negara itu, kami akan memaklumkan kepada mereka. Dan jika perlu kami akan membatalkannya,” kata Cik Syafiqah Zainal, Eksekutif Pemasaran Chan’s World Holiday.

Namun, ada juga yang tidak berminat untuk melancong ke destinasi-destinasi lebih jauh atas sebab keselamatan.

Mayat mangsa-mangsa serangan di Paris pada 13 Nov di kawasan dekat bandar. (Gambar: AP/Jacques Brinon)

Gambar fail: Serangan pengganas di Paris, 2015. 

"Saya tidak ada rancangan untuk pergi ke Eropah kerana masanya tidak sesuai. Kita pun risau, kita pun tidak tahu kalau benda itu (serangan pengganas) akan berlaku. Jadi kita akan berhati-hati. Buat masa ini mungkin tidak akan ke tempat-tempat seperti itu," kata Cik Siti Hazirah Hamid, 31 tahun.

EJEN-EJEN PELANCONGAN SUDAH BERSIAP SEDIA

Oleh kerana ramai yang ingin ke negara-negara tersebut, ejen-ejen pelancongan sudahpun mengambil langkah-langkah bagi menjaga dan melindungi keselamatan para pelanggan mereka apabila di luar negara.

Menurut Cik Syafiqah, walaupun sejauh ini tidak pernah terjadi insiden keganasan semasa membawa para pelanggan melancong, pihak mereka sudah dilatih untuk menanganinya sekiranya ia berlaku.

Encik Badruzzaman pula memberitahu BERITAMediacorp, beliau dan rombongannya nyaris terjejas disebabkan insiden pengganasan yang berlaku di Paris pada tahun lalu.

“Dua minggu sebelum mereka berangkat berlaku pengeboman di stadium Paris. Hotel yang kita sudah tempah di Paris itu betul-betul bersebelahan dengan stadium yang dibom. Kita mengambil keputusan untuk membatalkan tempahan hotel itu dan memilih untuk tinggal di luar kota Paris supaya dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini,” ujar Encik Badruzzaman.

PENTINGNYA INSURANS YANG MENYELURUH

Bagi yang tidak mengambil sebarang pakej yang ditawarkan oleh ejen pelancongan, penting untuk mereka membeli insurans perjalanan yang bersesuaian dan lebih menyeluruh.

Menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh AIG, 42 peratus daripada pelancong Singapura didapati membeli insurans perjalanan hanya jika terdapat harga promosi.

Namun, kesedaran para pelancong terhadap pentingnya insurans perjalanan semakin meningkat baru-baru ini, menurut pengamatan seorang perunding kewangan NTUC Income Encik Ari Yusmir yang berkata demikian kepada BERITAMediacorp.

“Mereka khuatir jika terdapat ancaman-ancaman pengganasan, keganasan dan bencana alam sekiranya mereka berada di luar negara,” kata Encik Ari.

“Saya nasihatkan kepada semua sekiranya ingin membeli pelan perjalanan supaya hubungi penasihat insurans dan dapatkan nasihat yang lebih terperinci tentang apa yang dapat dilindungi, dan apa yang terkecuali daripada pelan insurans anda,” tambah Encik Ari. 


Tentera Perancis meronda kawasan di hadapan gereja Notre-Dame Paris. (Gambar: Reuters)


Sumber : BERITA Mediacorp/ZZ/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan