Images
  • nike hijab 1
    Hijab jenama Nike yang direka untuk atlit Muslimah. (Gambar: Nike/Vivienne Balla)

Nike akan lancarkan hijab teknologi tinggi untuk atlit Muslimah

REUTERS: Nike akan melancarkan koleksi hijab untuk para atlit Muslimah awal tahun hadapan.

Ia merupakan gergasi penghasil pakaian sukan yang pertama untuk menawarkan koleksi tudung yang direka khusus untuk pertandingan sukan, menurut syarikat itu pada hari Rabu (8 Mac).

Koleksi hijab tersebut, yang dipasarkan di bawah jenama "Pro Hijab", direka khas untuk membolehkan para atlit terus bertudung tanpa menjejas prestasi mereka dalam sukan. Ia akan ditawarkan dalam tiga warna - hitam, kelabu dan obsidian.


Diperbuat daripada bahan yang ringan dan fleksibel, koleksi hijab tersebut dijangka akan dijual di cawangan-cawangan Nike pada awal 2018, menurut Nike dalam satu kenyataan.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, hijab menjadi lambang paling ketara bagi budaya Islam di Amerika Syarikat dan Eropah. Ramai wanita Islam memakai tudung sebagai tanda kesantunan, namun sesetengah pihak menganggapnya sebagai penindasan wanita.

Sedang ketegangan tentang isu kemasukan pendatang dan tanggapan tentang ancaman ekstremisme Islam kian meningkat, sesetengah wanita Islam diserang. Pada masa yang sama, hijab dilihat sebagai lambang kepelbagaian - yang kini didakapi Nike.

Malah Perarakan Wanita di Washington, yang diadakan sehari selepas Presiden Donald Trump mengangkat sumpah jawatan, menggunakan wajah seorang wanita yang memakai hijab dengan corak bendera Amerika sebagai imej promosinya.

Para atlit Muslimah yang mengunjungi ibu pejabat Nike di Beaverton, Oregon, sebelum ini mengadu tentang kesukaran berhijab ketika bertanding dalam sukan, menurut syarikat itu.

Syarikat tersebut lalu berbincang dengan para atlit Muslimah di seluruh dunia, termasuk para pelari dan pengayuh basikal Timur Tengah, ketika mereka koleksi hijab tersebut.

Syarikat-syarikat lain juga sudah mula menjual hijab untuk para atlit Muslimah.

Tahun lalu, syarikat pakaian sukan Denmark, Hummel, mendedahkan jersi bola sepak dengan hijab dicantumkan pada jersi itu, yang direka untuk pasukan bola sepak wanita nasional Afghanistan.

Para atlit Muslimah yang bukan profesional juga sudah menggunakan hijab-hijab khas untuk sukan yang dihasilkan syarikat-syarikat lebih kecil.


(Gambar-gambar: Nike/Vivienne Balla)

Namun untung bersih tahunan Nike yang mencecah berbilion-bilion, serta jangkauannya dalam budaya popular, boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menarik lebih ramai atlit Muslimah, kata Amna Al Haddad, atlit angkat berat dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang ditaja Nike yang turut terlibat dalam rundingan bagi rekaan "Pro Hijab".

"Ia akan menggalak keseluruhan generasi baru menceburi sukan tanpa merasakan ada sebarang batasan kerana isu kesantunan atau kod pakaian," kata Haddad. 

- Reuters/nd

Komen Anda?

Top