Images
  • hana tajima 6
    Hana Tajima. (Gambar: Facebook/Hana Tajima)

Niaga ‘hijabista’ naik hingga 30%, Mango, Uniqlo ‘masuk sekaki’

SINGAPURA: Penampilan mereka cukup ‘chic’ dan ‘trendy’, tidak kurang menyerlah jika dibandingkan dengan ikon fesyen Barat masa kini. Cuma bezanya, mereka berhijab.

Gelombang fesyen Muslimah ini mungkin begitu berpengaruh sehingga jenama fesyen seperti Uniqlo, Mango, Tommy Hilfiger dan DKNY juga memasuki gelanggang ini.

Begitu juga, perniagaan fesyen keislaman ini sedang rancak berkembang di Singapura.

APA DIA, BAGAIMANA DAN SIAPA MEREKA?

Blaus sifon dan seluar panjang 'palazzo', ataupun blazer yang digandingkan dengan seluar jeans dan baju T-shirt kasual, misalnya, menjadi pilihan. Tudung segi empat pula digantikan dengan pashmina, snood atau hijab instan dalam pelbagai corak, warna, dan gaya lilitan yang berbeza. Malah sebahagian mereka memilih untuk mengenakan turban, ala penyanyi Malaysia terkenal, Yuna Zarai.

(Gambar: Yuna/Facebook)

(Gambar: Hanatajima.com)

Bagi golongan ‘fashionista’ ini, fesyen wanita berhijab tidak lagi terhad kepada jubah, abayah atau baju kurta. Mereka berani bereksperimen dengan trend fesyen Barat terkini - yang penting, pakaian tetap sopan dan menutup aurat.

Mereka inilah yang disebut 'hijabista' – gandingan perkataan ‘hijab’ dan ‘fashionista’ - fenomena terkini yang cukup berpengaruh di kalangan wanita Islam di Singapura, Malaysia, mahupun negara-negara Barat, sejak mula menjadi trend beberapa tahun lalu.

UNIQLO KELUARKAN KOLEKSI FESYEN HIJAB X HANA TAJIMA

Trend hijabista terbukti kian hangat dipaparkan dalam dunia fesyen serantau mahupun antarabangsa. Contohnya, penulis blog Britain terkenal, Hana Tajima, buat pertama kalinya bekerjasama dengan jenama Uniqlo untuk menghasilkan koleksi fesyen yang sesuai untuk wanita berhijab.

Ia selesa dipakai, namun tetap kontemporari dan selari dengan gaya fashionista. Bahkan, koleksi ini diperagakan oleh Yuna.


Koleksi UNIQLO X Hana Tajima. (Gambar: Uniqlo)

Dipanggil ‘UNIQLO X Hana Tajima Collection’, ia akan dilancarkan pada 3 Julai ini, dan boleh didapatkan di Singapura di cawangan Uniqlo 313@Somerset, Bugis+, OneKM dan juga secara online di laman Uniqlo.

Koleksi fesyen ini ternyata diilhamkan daripada gaya minimalis dan feminin Hana Tajima sendiri. Antara yang bakal dipaparkan termasuk seluar panjang labuh, skirt panjang diperbuat daripada bahan rayon, baju dress halter dan ‘sut kebaya’, yang kesemuanya sesuai dipakai secara kasual mahupun untuk ke pejabat.


Yang menarik, koleksi itu turut menawarkan hijab stailo pelbagai corak, dan tudung dalaman atau inner AIRism, yang diperbuat dari bahan yang tipis dan mampu menyerap peluh – sesuai dengan cuaca panas di Singapura.


(Gambar-gambar: Uniqlo)

Hana Tajima, ikon hijab yang juga seorang pereka dan pelukis visual, berkata beliau mahu mencipta koleksi yang bukan sahaja menarik bagi wanita moden yang ingin berpakaian sopan, tetapi juga menepati cita rasa wanita lain yang mahukan pakaian yang selesa dan kontemporari.

“Koleksi saya ini direka khas supaya mudah ‘mix and match’, agar wanita masa kini mampu mengekspresikan gaya mereka yang tersendiri,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Uniqlo.


BLOGGER SHEA RASOL, HANA TAJIMA JADI PENERAJU FESYEN

Pengaruh hijabista juga terbukti dengan populariti blog-blog fesyen hijab oleh blogger tempatan, dari seberang Tambak, dan negara-negara Barat, hingga mereka dianggap selebriti dalam dunia fesyen hijab.

Antara peneraju fesyen hijab ialah blogger dari Malaysia, Shea Rasol dan Aishah Amin yang masing-masing mempunyai 90,600 dan 22,700 pengikut di Instagram mereka.


Shea Rasol. (Gambar: Facebook/Shea Rasol)


Di peringkat antarabangsa pula, blog fesyen hijab milik Hana Tajima dan seorang lagi blogger Britain, Dina Tokio, merupakan rujukan fesyen begitu berpengaruh di kalangan wanita Islam di seluruh dunia. Facebook ‘Hana Tajima : Style Covered’ malah kini mempunyai 198,000 ‘Likes’ di Facebook.


(Gambar: Hana Tajima/Facebook/Tumblr)

Full look, tap for deets! The jacket is vintage 😻 #dinatokio

A photo posted by D I N A T O K I O (@dinatokio) on


Penulis blog fesyen hijab tempatan, Nadya Abd, 25 tahun (www.sghijabgirl.net), berkata trend hijabista mula mendapat perhatian di Singapura sejak beberapa tahun lalu, dengan penggunaan laman-laman media sosial seperti Instagram, Facebook dan Lookbook yang berleluasa, serta blog-blog fesyen hijab yang menjadi popular.

Ia dijadikan inspirasi bagi wanita Islam di sini tampil bergaya, mengikut trend terkini dan mencuba sesuatu yang baru dalam gaya seharian.


Nadya Abd di luar pertunjukan fesyen fiziwoo/Zalia di Minggu Fesyen Singapura. (Gambar: sghijabgirl.net)

“Saya rasa trend ini masih terus berpengaruh kerana kian ramai wanita berhijab kini terdedah kepada pelbagai gaya fesyen yang boleh mereka cuba. Malah, tanggapan sesetengah pihak bahawa wanita berhijab tidak peka dengan trend-trend fesyen terkini, sudah lapuk.

“Penggunaan media sosial yang semakin aktif, terutama di Instagram, juga membolehkan anda melihat ramai wanita Islam dari seluruh dunia tampil dengan pelbagai gaya tersendiri,” ujar beliau, yang laman Facebook bagi blognya kini mempunyai lebih 5,000 Likes.

DIJEMPUT KE PESTA HIJAB ANTARABANGSA KL SEBAGAI IKON UKHWAH

Malah, blognya yang ditubuhkan pada 2011 begitu popular hingga Cik Nadya, seorang guru, dijemput ke Pesta Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) sebagai ikon ukhwah fesyen pada pertengahan Jun ini, dan ditemubual oleh media Malaysia termasuk di program Safiyyah siaran TV9.

Nadya Abd di Pesta Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar: sghijabgirl.net)

Cik Nadya, yang pernah menuntut di madrasah sepenuh masa tempatan, mula bereksperimen dengan fesyen setelah menonton siri televisyen Amerika, ‘Gossip Girls’ ketika berada di Menengah 4.

“Saya suka dengan watak ‘Blair Waldorf’ dari Gossip Girls, jadi ketika itu saya juga mahu memakai fesyen ‘preppy’ seperti kemeja oxford, sweater argyle dan kasut brogues seperti beliau. Dari situ, saya fikirkan bagaimana saya dapat padankan gaya fesyen ‘preppy’ dengan hijab,” ujarnya, sambil menambah itulah titik permulaan beliau menulis blog tentang fesyen hijab.

DAPAT INSPIRASI FESYEN DARIPADA KEMBAR OLSENS 

Seorang lagi penulis blog, Nur Fatin Atiqah (inmyshawls.com), pula menyifatkan gayanya sebagai gabungan ‘normcore’ dan minimalis, dan menganggap ikon fesyen kembar Olsens sebagai inspirasinya. Gaya fesyennya yang unik pernah dipaparkan di majalah Aquila Style dan laman Indonesia, wolipop.detik.com.



Beliau berpendapat trend hijabista masih kukuh hasil penggunaan Instagram yang berleluasa, dan banyaknya jenama dan kedai yang menawarkan pakaian sesuai untuk Muslimah yang berhijab.

Cik Nur Fatin, 24 tahun, seorang pendidik, mula menulis blognya itu pada 2011, setahun selepas mula memakai hijab.

“Saya memang minat dengan fesyen sejak dulu lagi, sebelum saya memakai hijab. Jadi saya padankan apa yang saya gayakan dulu, dengan hijab,” ujarnya.

Cik Nur Fatin menyifatkan hijabista sebagai seorang yang bergaya namun tetap mengekalkan nada kesantunan.


Menurutnya, dengan kaedah ‘layering’ iaitu memadankan pelbagai jenis pakaian seperti blazer dan baju dress panjang, misalnya, dan menggunakan bahan fabrik tipis agar sesuai dengan cuaca panas di sini, wanita berhijab mampu mencipta pelbagai gaya menarik.

KEDAI FESYEN MUSLIMAH MODEN TUMBUH BAK CENDAWAN

Hasil fenomena hijabista ini juga, kedai-kedai fesyen Muslimah moden, yang turut menawarkan penjualan online, kini tumbuh bak cendawan selepas hujan di Singapura. Beberapa kedai sedemikian, seperti Sahara Shawl dan Sufyaa juga memuat naik video tutorial cara menggayakan hijab di laman Youtube masing-masing untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Sufyaa, yang ditubuhkan pada 2011, kini mempunyai dua cawangan di tingkat 3 Tanjong Katong Complex, atas permintaan meningkat bagi fesyen Muslimah moden.

Pengarah urusannya, Rina Tahar, berkata jumlah kedai ‘blogshop’ fesyen Muslimah di tingkat 3 kedai beli-belah itu bahkan kini naik seganda kepada tujuh buah kedai, berbanding pada 2011.

Hasil penjualan Sufyaa juga meningkat sekitar 30 peratus sejak mula ditubuhkan.

“Wanita bertudung kini mahu menggayakan sesuatu yang lebih kasual berbanding pakaian tradisional seperti jubah dan abayah,” kata Cik Rina ketika dihubungi, sambil menambah tudung ‘Sheyla’ dan baju dress maxi paling laris dijual di kedainya.


Satin Camellia, yang sebelum ini digelar Sufyaa Sheyla. (Gambar: Sufyaa.com.sg)

MANGO, TOMMY HILFIGER LANCAR KOLEKSI RAMADAN

Malah, beliau menarik perhatian kedai fesyen Muslimah seperti Sufyaa kini menghadapi lebih banyak saingan bukan sahaja daripada kedai-kedai lain di Singapura, malah juga jenama-jenama antarabangsa.

Antaranya, jenama dari Sepanyol, Mango, melancarkan koleksi ‘Ramadan Kareem’ pada 8 Jun lalu, yang hanya dijual di Timur Tengah dan menawarkan busana untuk acara malam seperti gaun dan seluar palazzo.


Koleksi Ramadan Mango. (Gambar: Mango)

Selain itu, Tommy Hilfiger, dan laman fesyen mewah Net-a-Porter turut menawarkan koleksi khas Ramadan tahun ini, sementara DKNY melancarkannya tahun lalu.


Koleksi Ramadan Tommy Hilfiger. (Gambar: Tommy Hilfiger)(Gambar: Net-A-Porter)

Potensi pasaran fesyen Muslimah ini sukar untuk dianggarkan, menurut laporan womensenews.org. Namun, menurut Universiti Fesyen Perancis Esmod di Dubai, jika separuh daripada orang Islam di dunia yang seramai 1.6 bilion, membelanjakan hanya AS$120 setiap tahun untuk membeli pakaian, nilai industri fesyen Islam boleh mencecah AS$96 bilion.

LAMAN PENJUALAN ONLINE BARU MUNCUL 'SETIAP HARI'

Pemilik sebuah lagi kedai popular, Sahara Shawl, yang menjual pelbagai jenis hijab seperti hijab instan, snood dan ‘Snoop’, berkata tahun ini, hampir setiap hari, laman penjualan online fesyen Muslimah moden yang baru akan muncul di pasaran.

Malah, Cik Nadiah Khalid Abdat berkata beliau sendiri menerima tawaran daripada BHG untuk menjual hijab-hijab Sahara Shawl di gedung beli belah itu.

Cik Nadiah berkata hasil penjualan begitu baik semasa kedainya mula dibuka pada 2011 kerana ketika itu, tidak banyak kedai serupa ditubuhkan, namun oleh kerana menghadapi lebih banyak saingan, hasil penjualannya kini tidak menampakkan trend peningkatan yang ketara.

Jenis hijab yang laris dijual di kedainya kini ialah ‘Snoop’ iaitu gabungan snood dan loop.


Hijab 'Snoop'. (Gambar: Sahara Shawl/Facebook)

Pemilik laman penjualan online Ayu Apparels, Cik Nursyazwani Mohammed Ibrahim pula berkata sejak perniagaannya itu ditubuhkan Oktober lalu, hasil penjualannya meningkat sekitar 25 peratus.

TREND DIANGGAP POSITIF

Blogger Singapura, Cik Nadya menganggap trend hijabista sebagai sesuatu yang positif.

“Saya mahu menunjukkan wanita bertudung pun masih boleh tampil bergaya. Malah, mungkin trend ini wujud kerana generasi muda yang berhijab ingin membuktikan bahawa tanggapan negatif Barat iaitu menutup aurat adalah satu penindasan, tidak betul sama sekali. Kami ikhlas berhijab, cuma seperti anak muda lain, kami juga mahu tampil bergaya,” ujarnya. 

- BERITAMediaCorp/nd

Komen Anda?

Top
>