Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ngantuk? Ini 5 tips mudah untuk dapatkan mutu tidur yang lebih baik

Menurut satu kajian yang dijalankan Poliklinik SingHealth, empat daripada 10 orang tidak cukup tidur semasa hari-hari biasa, dan tidur kurang daripada tujuh jam dalam satu malam.

Anggaran Waktu Membaca:
Ngantuk? Ini 5 tips mudah untuk dapatkan mutu tidur yang lebih baik

Gambar hiasan. (Gambar: www.freeimages.com)

Diterbitkan : 22 May 2017 10:37PM Dikemas Kini : 22 May 2017 10:38PM

SINGAPURA: Jika anda menguap semasa membaca artikel ini, anda mungkin tidak mempunyai tabiat tidur yang baik!

Menurut satu kajian yang dijalankan Poliklinik SingHealth, empat daripada 10 orang tidak cukup tidur semasa hari-hari biasa, dan tidur kurang daripada tujuh jam dalam satu malam.

Jika anda kerap kurang tidur, ia boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk masalah yang biasa seperti pening dan letih.

Masalah lebih rumit pula termasuk tekanan darah tinggi, kegemukan dan isu kerisauan.

Tetapi bagaimana pula jika anda jenis yang dapat tidur lebih lapan jam setiap hari tetapi masih berasa leseu keesokan harinya? Ini mungkin kerana anda tidak tidur dengan lena.

Lantas, laporan ini memberi anda lima tips mudah untuk mendapat mutu tidur yang lebih baik.

1. JANGAN MINUM MINUMAN KERAS

Bukan sahaja haram di sisi agama, jelas minuman keras membawa banyak kesan negatif kepada kesihatan dan psikologi anda.

"Minuman keras mungkin menyumbang kepada kemungkinan anda akan mengalami mimpi yang buruk atau seram sebelum anda dapat tidur dengan lena," kata penasihat tidur Fitbit Allison T Siebern, yang juga seorang profesor Pusat Perubatan Tidur Universiti Stanford dan pengarah Program Bersepadu Kesihatan Tidur Pusat Perubatan Fayettville VA.

2. MINUM KOPI HANYA PADA WAKTU PAGI

Setiap orang bertindak balas berbeza dengan kafein, tetapi secara purata, kafein boleh terus berada di tubuh anda sekurang-kurangnya enam jam.

"Jangka hayat kafein hampir enam jam," jelas Dr Michael T Smith, pengarah Pusat Tingkah Laku & Kesihatan Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins dan juga seorang lagi penasihat tidur Fitbit.

"Jadi jika anda minum kopi pada 4.00 petang, kopi itu masih berada dalam sistem anda pada pukul 10.00 malam."

3. MAKAN MALAM SEKURANG-KURANGNYA 2 JAM SEBELUM TIDUR

Makan dengan banyak sebelum tidur boleh mengganggu mutu tidur anda kerana tubuh anda masih sibuk menghadam makanan itu.

Keadaan pedih hulu hati juga boleh berlaku jika anda baring terlalu awal selepas makan.

Menurut Dr Michael Grandner, pengarah Program Kajian Tidur & Kesihatan Kolej di Universiti Perubatan Arizona, anda harus cuba makan malam sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.

4. BERSENAM TETAPI CARI MASA SESUAI

Banyak kajian saintifik yang menyokong kesan positif senaman terhadap mutu tidur.

Namun persoalannya adalah bilakah masa yang sesuai untuk anda bersenam?

Walaupun sebelum ini para pakar percaya melakukan senaman terlalu dekat dengan waktu tidur boleh menjejas mutu tidur anda, kajian terkini menunjukkan "bersenam sebelum tidur tidak memberi kesan seperti yang pernah dipercayai sebelum ini," kata Profesor Siebern.

5. BERSANTAI SEBELUM TIDUR

Ini bermakna melakukan kegiatan yang tidak intensif seperti membaca buku dan bukan menggunakan alat-alat elektronik anda.

Kaijan juga menunjukkan lebih mudah untuk seseorang itu tidur jika suhu bilik adalah sejuk, jadi anda cari suhu yang sesuai pada alat hawa dingin di rumah anda. 

Sumber : Today/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan