Images
  • rea nenek
    Cik Park Makrye yang popular di media sosial. (Gambar: Korea Grandma/Instagram)

Nenek Korea ‘cool’ berusia 70 tahun jadi bintang YouTube; suntik kesegaran kerana ‘tidak palsu’

KOREA SELATAN: Lazimnya dunia ‘vlog’ atau diari harian dalam bentuk rakaman video, popular dalam kalangan orang muda. Namun seorang wanita yang berusia 70 tahun, berjaya menarik perhatian ramai untuk menonton video-video beliau di laman YouTube.

Park Makrye boleh digelar sebagai ‘nenek YouTube’ kerana kemunculan beliau dalam media sosial seolah-olah menyuntik kesegaran bagi warga siber.

Video-video beliau yang lucu, merakam kehidupan sehari-hari beliau sebagai seorang warga tua yang bergaya dengan fesyen-fesyen terkini. Cik Park berkongsi bermacam-macam perkara termasuk tips solekan sehinggalah pengalaman beliau melancong.

Perbuatannya merakam video-video tersebut sebenarnya bertujuan mengurangkan risiko demensia atau nyanyuk, lapor laman Daily Mail.

Cik Park, yang mengendalikan sebuah restoran miliknya sendiri di Yongin, selatan Seoul, berkata kehidupan beliau banyak berubah sejak mula berjinak-jinak dengan YouTube.

“Sebelum ini saya pernah berfikir yang memandangkan usia sudahpun mencecah 70 tahun, kehidupan saya sudah berakhir. Tetapi apabila saya mula melakukan ini (merakam video dan memuat naik ke YouTube) saya menyedari bahawa kehidupan sebenarnya bermula pada usia 71 tahun!” cerita Cik Park.

Idea untuk menubuhkan saluran YouTube beliau sendiri tercetus apabila cucu perempuan beliau Kim Yura, 27 tahun, mengajak beliau melancong ke Australia, setelah mendapat tahu neneknya itu berisiko tinggi mengalami demensia.

Satu rakaman video yang dimuat naik online mengenai percutian pasangan nenek dan cucu itu di Cairns pada bulan Januari lalu – yang termasuk Cik Park menceritakan pengalaman pertama beliau menyelam dalam laut – dengan pantas menarik minat warga Korea.

Didorong populariti video pertama itu, Ck Yura menggalak neneknya supaya terus merakam video-video, dengan harapan ia dapat menjadi salah satu cara mengurangkan risiko demensia, lapor Daily Mail.

Enam bulan kemudian, Cik Park dipanggil untuk menghiasi muka depan sebuah majalah wanita dan mengacarakan rancangan beli-belahnya sendiri serta muncul dalam satu iklan jenama Samsung.

Menggunakan nama online ‘Korea Grandma’, Cik Park mempunyai ramai pengikut, hampir 300,000 di saluran YouTube beliau dan lebih 100,000 di laman Instagram beliau, lapor Daily Mail.

Malah, para pengikut beliau begitu meminatinya dan sanggup berjalan jauh semata-mata untuk makan di restoran Cik Park, yang terletak di bahagian pedalaman Yongin. Tiada pengangkutan awam yang memasuki kawasan tersebut.

Menjelaskan minatnya kepada ‘Korea Grandma’, salah seorang pengikut Cik Park, Lee Injae yang berusia 31 tahun berkata: “Beliau jujur. Tidak palsu. Ia begitu menyegarkan untuk melihat dunia dari pandangan seorang nenek.”

Menurut cucu Cik Park, Yura: “Saya mendapat tahu nenek juga seperti kita semua. Beliau suka melancong, makan makanan yang enak dan bergambar. Saya juga peminat beliau. Nenek seorang ‘cool’.”


Sekalipun begitu, kehidupan Cik Park semasa membesar jauh berbeza. Bapa beliau enggan menghantar beliau ke sekolah kerana beliau perempuan. Sebaliknya, beliau dipaksa membuat kerja rumah – seperti memotong kayu api di kawasan pergunungan dan berjalan jauh untuk membawa kayu-kayu itu pulang.

Seorang jiran pernah mengajar Cik Park membaca dan menulis, namun beliau masih tidak tahu bagaimana untuk mengeja perkataan-perkataan tertentu.

“Ibu bapa saya tidak mengajar saya meskipun mereka tidak miskin kerana mereka mahu saya bekerja,” jelas beliau, sambil menambah “Apabila saya menggunakan YouTube sekarang, saya berasa sedih kerana saya tidak diberi Pendidikan.”#Cik Park kemudian berdepan dengan cabaran-cabaran lain dalam hidup, apabila suami beliau meninggalkannya bersama tiga orang anak yang masih kecil setelah dibelenggu hutang.

Namun beliau mula membuka restoran sendiri di samping membesarkan anak-anak dan berjaya melangsaikan hutang-piutang yang ada, lapor Daily Mail.

Ketiga-tiga anaknya juga berjaya menamatkan pengajian di sekolah tinggi dan cucu beliau, Yura, adalah yang pertama dari keluarga itu untuk menyambung pengajian ke kolej.

Meskipun sudah popular di YouTube, Cik Park berkata beliau tidak akan berhenti mengendalikan restorannya itu “sehingga akhir hayat”.

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top