Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nasi Kambing Kat Kubur hidangan nasi Arab unik di Melaka

Hidangan di sebuah kedai makan yang menjual nasi Arab mungkin kedengaran agak pelik namun pasti melekat dalam ingatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Nasi Kambing Kat Kubur hidangan nasi Arab unik di Melaka

Kedai Sawit Corner yang menjual nasi Arab, Nasi Kambing Kat Kubur. (Gambar-gambar: Nasi Kambing Kat Kubur/Facebook)

Diterbitkan : 08 May 2017 08:15PM Dikemas Kini : 08 May 2017 08:17PM

MELAKA: Hidangan di sebuah kedai makan yang menjual nasi Arab mungkin kedengaran agak pelik namun pasti melekat dalam ingatan.

Nasi Kambing Kat Kubur adalah salah satu menu menarik yang dijual di Kedai Sawit Corner, sebuah kedai makan yang terletak di bawah rimbunan pokok kelapa sawit di Solok Duku, Alor Gajah, Melaka.

Lokasi kedai yang bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mualim di Solok Duku itu mencetuskan idea kepada para pemiliknya untuk menjadikan nama hidangan unik itu sebagai satu jenama.

Kedai itu diusahakan sejak enam tahun lalu oleh Nabila Asyyiqin Marzuki, 25 tahun, dan suami, Mohamad Khairul Azwan Md Ramli, 28 tahun, selain dibantu saudara mereka, Muhammad Hayad Norazman, 25 tahun, lapor laman Berita Harian Malaysia.

Menurut mereka, keputusan untuk menjenamakan hidangan Nasi Kambing Kat Kubur itu dibuat setelah menerima banyak pertanyaan tentang lokasi kedai.

"Kami mengusahakan kedai makan ini sejak 2006 dengan menjual cucur udang, bakso, mi kari, laksa dan cendol sebelum menambah gulai kawah itik, daging dan kambing pada tahun 2009, diikuti nasi Arab pada 2011.

"Penambahan juadah dibuat supaya pelanggan mempunyai pilihan kerana bukan semua mahukan hidangan alas perut, sebaliknya yang mengenyangkan untuk perjalanan jauh," Cik Nabilah Asyyikin memberitahu Berita Harian Malaysia.

Menurut catatan di laman Facebook Sawit Corner, Nasi Kambing Kat Kubur adalah nasi Arab yang dihidangkan dengan daging kambing berempah.

Ia turut menjadi hidangan pilihan ramai pelanggan, dengan salah seorang daripadanya menyatakan: "Kalau akak mati hari ini pun akak reda dan puas sebab akak dapat makan nasi Arab. Sedap sangat."

Cik Nabilah Asyyikin berkata kedainya turut menyediakan Nasi Kambing Kat Kubur dengan ayam atau kambing, set dimakan seorang ataupun keluarga. 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan