Mungkin anda kerap hembus hidung dengan cara salah. Ini caranya yang betul...
Bila hidung tersumbat, lazimnya tangan akan pantas mencapai tisu untuk kita hembus sepuas hati.
BERITAMediacorp: Bila hidung tersumbat, lazimnya tangan akan pantas mencapai tisu untuk kita hembus sepuas hati.
Namun tahukah anda, sebenarnya itu adalah cara yang salah! Malah boleh menyebabkan kerosakan pada hidung?
Ini ulasan seorang pensyarah dari Universiti Queensland, Dr David King, sebagaimana ditukil Daily Mail: "Perbuatan menghembus hidung berulang-kali dan sekuat hati mungkin membawa lebih banyak risiko berbanding manfaat, meskipun ia kelihatan seperti respons semula jadi apabila hidung tersumbat."
"Oleh itu, lebih baik hentikan keinginan untuk menghembus hidung secara paksa."
Dr King menjelaskan terdapat beberapa kes hidung yang dihembus begitu kuat sehingga menyebabkan kerosakan disebabkan tekanannya, lapor Daily Mail.
"Dalam kebanyakan kes, pesakit mengalami masalah radang kronik atau kelemahan pada struktur (hidung) yang sudah menjadi rosak akibat menghembus terlalu kuat," kata beliau.
Terdapat juga pesakit yang mengalami keretakan rongga mata, sakit kepala yang teruk dan menyebabkan udara masuk antara dua lobus paru-paru.
Menurut Dr King, beliau faham mengapa sesetengah orang menghembus hidung terlalu kuat setiap kali terdapat cecair dalam hidung.
Ini kerana ia bukan saja menyebabkan rasa gatal malah ia boleh menjangkiti bahagian tekak sehingga menyebabkan batuk-batuk, lapor laman Daily Mail.
"Jika terdapat cecair pada hidung, cara yang terbaik adalah mengeluarkannya, oleh itu anda boleh menghembuskannya secara perlahan-lahan atau dengan membersihkan sebelah lubang hidung pada satu-satu masa. Rawatan yang sesuai boleh mengurangkan keperluan untuk menghembus hidung secara paksa," tambah beliau lagi dalam laporan tersebut.
Beliau menyarankan orang ramai supaya membeli semburan untuk mengurangkan sumbat pada hidung, semburan air masin (saline spray) dan melakukan teknik di mana semburan air masin dipacutkan ke dalam lubang hidung untuk mengeluarkan cecair dan habuk.
"Jika anda kerap menghembus hidung anda mungkin mengalami masalah hidung, seperti demam alergi atau radang hidung, yang perlu dirawat dengan lebih menyeluruh," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.